KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan rayuan di atas pembatalan perintah reman ke atas Adun Sungai Puyu, Phee Bon Poh bersama pengarah dan pengurus kilang haram oleh Mahkamah Pulau Pinang hari ini.
Dalam kenyataannya, SPRM berkata, SPRM tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Wahab Mohamed.
“SPRM menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini yang telah membatalkan tempoh reman selama lima hari ke atas Exco DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh bersama pengarah dan pengurus kilang haram yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Georgetown pada Sabtu lalu.
“Walau bagaimanapun, SPRM tidak berpuas hati dengan keputusan yang tersebut.
“SPRM memandang serius perkara ini kerana keputusan tersebut juga telah menjejaskan proses siasatan oleh pasukan penyiasat yang sedang giat melengkapkan kertas siasatan berhubung penglibatan Phee dan dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam operasi kilang haram di tanah pertanian di Sungai Lembu, Penanti,” katanya.
Abdul Wahab hari ini membatalkan tahanan reman selama lima hari terhadap Phee dan dua berana pemilik kilang haram berkenaan selepas membenarkan permohonan semakan oleh barisan peguam mereka.
Menurut Abdul Wahab, keputusan itu dibuat selepas mendapati perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini Sabtu lalu ke atas ketiga-tiga individu berkenaan bertentangan dengan Seksyen 117(5) Kanun Prosedur Jenayah.
Jumaat lalu, Phee, 65, yang juga Pegerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri bersama dua beranak berusia 70 dan 37 tahun itu ditahan SPRM bagi membantu siasatan operasi kilang memproses habuk kayu haram mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Semalam, barisan peguam suspek juga cuba membatalkan perintah tahanan reman itu di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah namun ditolak atas alasan bukan kapasiti mahkamah berkenaan untuk membuat keputusan tersebut. – MalaysiaGazette