Home Seni Hidup Fenomena Mek Yun, wanita Cina fasih berbahasa Melayu

Fenomena Mek Yun, wanita Cina fasih berbahasa Melayu

Mek Yun seorang gadis Cina yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu semakin dikenali dalam kalangan pengguna TikTok selepas video-video yang dihasilkan olehnya menjadi tular baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kemahiran dalam menguasai pelbagai bahasa sudah memberi banyak kelebihan.

Kelebihan itu menjadikan seorang wanita berbangsa Cina menarik perhatian warganet terutamanya pengguna Tiktok selepas video memaparkan dirinya fasih menguasai bahasa Melayu serta dialek Kelantan tular.

Selain wajah yang comel, kelebihan dimiliki Wee Yun Nee, 24, atau lebih mesra disapa sebagai Mek Yun menjadikan dirinya semakin dikenali dan kini mengumpul lebih 420,000 pengikut di TikTok.

Menurut anak bongsu dari tiga beradik itu, selain fasih bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris dan dialek Kelantan, dia juga menguasai bahasa Thailand serta Hokkien.

Berkongsi lanjut, Mek Yun sejak kecil dibesarkan dalam komuniti Melayu selain dihantar oleh kedua ibu bapanya ke Tabika KEMAS, sekolah kebangsaan serta sekolah menengah kebangsaan.

“Bukan saya sahaja tetapi kami sekeluarga memang semua fasih kerana kebanyakan jiran merupakan masyarakat Melayu. Saya juga pernah menetap di negeri Cik Siti Wan Kembang hampir tiga tahun ketika berada di bangku sekolah rendah dan sebab itu juga lah saya boleh bertutur dalam dialek Kelantan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Mek Yun yang aktif di TikTok dan Instagram itu sering berkongsi pelbagai jenis kandungan video sama ada berkisar mengenai dirinya atau pun realiti kehidupan anak muda masa kini.

Namun menurut bekas penuntut dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) itu, sebagai seorang content creator, dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang.

Beliau mengakui ada segelintir warganet yang bertindak melemparkan kata-kata negatif terhadapnya.

“Bagi saya perkara ini sangat biasa apabila ada orang yang tidak puas hati atau tidak suka melihat kejayaan seseorang individu terutamanya apabila individu tersebut mempunyai platform yang semakin dikenali.

“Bila ada orang seperti ini, apa yang mereka fikir tentang saya, memang saya tidak ambil kisah. Pada pendapat saya, bila mereka berikan komen yang negatif seperti itu hanyalah bersifat ingin mencari perhatian dan saya pun bukan mengenali mereka secara peribadi,” ujarnya.

Mek Yun memanfaatkan platform media sosial terutamanya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan menghasilkan pelbagai kandungan kreatif.

Baginya, video yang dihasilkan olehnya bukan semata-mata berbentuk hiburan tetapi turut disuntik dengan elemen yang mampu memberikan sumber inspirasi kepada para pengikutnya.

“Saya bersyukur kerana kebanyakan mereka yang mengikuti saya di laman sosial sering memberikan kata semangat yang tak putus-putus kerana niat saya bukan sahaja untuk menghiburkan tetapi memberi inspirasi kepada mereka yang memerlukannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette