KOTA KINABALU – Parti Cinta Sabah (PCS) mempersoalkan kelewatan proses pemberian vaksin di Sabah berbanding negeri lain.
Ketua Pemudanya, AG Zakariah Ibrahim berkata, kelewatan itu akan menyebabkan proses pemulihan ekonomi Sabah lambat.
Katanya, kerajaan pusat yang sepatutnya mempercepatkan pemberian bekalan vaksin Covid-19 di Sabah perlu lebih telus mengenai perkara itu.
“Saya melihat proses vaksinasi di Sabah terlalu perlahan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Kita sering diberitahu kerajaan bertindak berpandukan fakta dan sains.
“Tetapi berlandaskan fakta dan sains juga 82 peratus rakyat Sabah masih belum divaksin berbanding negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya hari ini.
Sehingga 17 Julai lalu, seramai 358,592 orang atau 13 peratus penduduk Sabah menerima dos pertama.
Menurut Zakaria, menerusi fakta dan sains turut membuktikan negeri jiran, Sarawak menerima bekalan vaksin yang lebih tinggi malah ia bakal mencapai imuniti kelompok lebih awal daripada Sabah.
Tambah beliau, untuk mencapai 40 peratus daripada populasi divaksin, Sabah perlu menerima 1,489,536 dos vaksin pada Julai hingga pertengahan Ogos.
“Saya mohon Menteri yang bertanggungjawab, YB Khairy Jamaluddin untuk memberikan vaksin kepada kami secepat mungkin.
“Kami juga mahu penduduk di Sabah dengan segera capai tahap imuniti kelompok,” ujarnya.
Zakaria berharap pemberian vaksin dipertingkatkan antara 40,000 dapat 50,000 dos setiap hari berbanding kini 20,000 dos sehari.
Katanya, Sabah yang bergantung pada sektor pelancongan hanya akan membuka semula sektor tersebut apabila 60 peratus penduduknya menerima vaksin. – MalaysiaGazette