JOHOR BAHRU – Sekumpulan usahawan menggalas tanggungjawab sebagai sukarelawan demi membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19 di sekitar bandar raya ini menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Warm Charity.
Pengerusinya, Desmond Wee berkata, pihaknya melaksanakan aktiviti murni ini sejak setahun lalu membabitkan 20 sukarelawan dalam kalangan usahawan.
Beliau berkata, dia dan rakannya tampil membantu golongan kurang berkemampuan selepas menyedari sesetengah keluarga berdepan pelbagai cabaran ketika pandemik Covid-19.
Keluarga tersebut bukan saja kekurangan bekalan makanan malah terpaksa mencatu makanan kerana tidak mampu membeli keperluan semasa.
Katanya, pada masa kini, agihan makanan membabitkan barangan basah dilakukan pada setiap Jumaat.
“Sehingga kini kami menyampaikan sumbangan ikan, sayuran, ayam dan beras kepada lebih 5,000 golongan kurang berkemampuan termasuk di sekitar kawasan sekitar bandar raya ini,” katanya.
Dalam menyampaikan sumbangan, Warm Charity sentiasa menjaga sensitiviti dengan memastikan mengedarkan makanan halal kepada umat Islam.
Ditanya mengenai dana yang diperoleh untuk tujuan ini, Wee berkata, semuanya dilakukan atas inisiatif sendiri.
“Kerja amal ini dilakukan sejak setahun lalu telah menerima sambutan di luar jangkaan dan ia memberi suatu kepuasan diri yang tidak ternilai.
“Pada setiap Jumaat kami akan bercuti berniaga untuk kerja-kerja pengagihan barangan mulai 10 pagi hingga 6 petang,” ujarnya yang berazam untuk meningkatkan jumlah penerima sumbangan. – MalaysiaGazette