Home National 3 lelaki terlibat tipu jual beli atas talian ditahan

3 lelaki terlibat tipu jual beli atas talian ditahan

Tiga suspek yang ditahan kerana melakukan penipuan dalam talian.

Iskandar Puteri –  Tiga lelaki tempatan yang dipercayai menjalankan aktiviti sindiket tipu jual beli barang Amazon atas talian ditahan dalam serbuan sebuah apartmen  di kawasan Lebuh Medini Utara, Medini di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan jam 5 petang itu, polis turut merampas 25 telefon pelbagai jenama, enam komputer riba, fail dan kunci rumah yang dianggarkan bernilai RM26,600.

Katanya, kegiatan sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak seminggu yang lalu.

Sindiket ini mensasarkan mangsa-mangsa dari negara England.

Mereka ini baru sahaja menyewa rumah kediaman tersebut pada pertengahan bulan Julai 2021 dan telah merancang untuk bertukar lokasi ke kediaman yang lain untuk menjalankan kegiatan penipuan.

Difahamkan mereka ini melakukan penipuan melalui arahan lelaki Cina, juga seorang warga tempatan.

“Ketiga-tiga suspek mendakwa mereka tidak pernah berjumpa dengan lelaki tersebut dan hanya berhubung melalui wechat dan akan menerima komisien sebanyak 5% daripada jumlah wang hasil menipu mangsa,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah Dzulkhairi, suspek yang ditahan berusia 19 hingga 23 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga 24 Julai dan kes siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette