Home Nasional Pakej Bantuan Pemulih: Tiada satu pun berita gembira – Asyraf Wajdi

Pakej Bantuan Pemulih: Tiada satu pun berita gembira – Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Tiada satu pun berita gembira buat rakyat Malaysia dalam pengumuman Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai penambahbaikan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), tengah hari tadi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengumuman itu tidak lebih sekadar pengulangan insiatif yang telahpun dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.

“Saya mengikuti siaran langsung Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul pukul 1.30 tadi dengan penuh harapan kiranya ada pengumuman tambah baik Pakej Bantuan PEMULIH sebagaimana yang terkandung dalam 10 #TuntutanRAKYAT.

“Malangnya, tiada satupun berita gembira melainkan pengulangan inisiatif yang telahpun dibentangkan oleh PM pada 28 Jun lalu.

“Malah dengan bangga mendakwa keprihatinan kerajaan terhadap golongan M40 yang terkesan dengan bantuan khas covid (BKC) RM250 pada bulan Ogos nanti,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Pada 13 Julai lalu, Asyraf bertemu Tengku Zafrul di Kementerian Kewangan, Putrajaya bagi menjelaskan 10 tuntutan rakyat sepanjang pandemik Covid-19.

Antara 10 tuntutan rakyat itu termasuk i-Citra, moratorium, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Bantuan Prihatin (BPR) hasil maklum balas ribuan komentar dan mesej peribadi yang kami terima termasuk Hotline Pemuda UMNO.

Terdahulu Asyraf Wajdi membawa usul sama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Julai lalu.

Dalam pada itu, Asyraf Wajid komited untuk memperjuangkan 10 tuntutan rakyat itu termasuk melobi ahli-ahli Parlimen UMNO untuk memberi tekanan kepada kerajaan supaya tuntutan itu dipenuhi secepat mungkin.

“Saya minta maaf kerana masih tidak berupaya merubah pendirian kerajaan mengenai 10 tuntutan rakyat ini.

“Namun kami berjanji untuk terus berusaha termasuk melobi ahli-ahli Parlimen untuk terus menekan kerajaan agar mendengar denyut nadi rakyat dengan membawa suara mereka di Parlimen pula pada minggu hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette