KUALA LUMPUR – Sejumlah 64,773 pencarum aktif yang terdiri daripada rakan penghantar Grab Malaysia dan Food Panda telah berdaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) setakat 9 Julai, 2021.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah tersebut merangkumi 39 peratus daripada jumlah orang bekerja sendiri (OBS) aktif yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu kira-kira 166,000 orang.
“Saya menyeru semua platform penyedia perkhidmatan untuk turut mengikut jejak langkah Grab Malaysia dan Food Panda dalam menzahirkan keprihatinan mereka terhadap rakan penghantar seterusnya menyokong usaha kerajaan dengan memastikan rakan penghantar mereka didaftar, dicarum dan dilindungi,” katanya.
Tengku Zafrul berkata platform penyedia perkhidmatan, Grab Malaysia dan Food Panda, telah mendaftarkan hampir kesemua rakan penghantar mereka di bawah Skim Pekerjaan Sendiri Lindung (SPS Lindung) di bawah PERKESO.
Menurutnya, skim ini merupakan penambahbaikan kepada Program Dana Padanan Bagi Platform Ekonomi Gig (PenjanaGig) bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada orang yang bekerja sendiri di bawah SKSPS.
“Kerjasama ini mencerminkan semangat pendekatan “whole of nation” di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Bagi memastikan golongan ini dilindungi dan menggalakkan mereka mendaftar, kerajaan melalui SPS Lindung menyediakan bantuan berbentuk pembiayaan penuh caruman SKSPS di bawah pelan dua, iaitu sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan setahun.
“Selaku peneraju kepada 133 platform penyedia perniagaan di Malaysia, Grab Malaysia dan Food Panda merupakan dua platform pertama yang tampil menyahut seruan tersebut dan hasilnya, rakan penghantar di bawah naungan mereka kini dilindungi oleh Skim Bencana Pekerjaan di bawah SKSPS,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pengekalan penarafan kredit Fitch Ratings pada BBB+ terhadap Malaysia baru-baru ini menjadi bukti ketahanan ekonomi negara berdepan dengan ketidakpastian keadaan semasa.
Ini juga, katanya, mencerminkan kemampuan negara untuk terus menawarkan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh dan meluas, di samping menjadi satu pengiktirafan kepada polisi dan usaha kerajaan yang berterusan.
“Fitch Ratings telah mengekalkan kredit berdaulat Malaysia dengan prospek stabil dalam indeks “issuer default rating” atau penarafan kelalaian penerbit yang menjadi kayu ukur kepada keteguhan kredit negara-negara berdaulat di dunia.
“Secara ringkasnya, ini adalah seumpama penarafan kredit individu, cuma sistem penarafan ini berlaku pada skala yang lebih besar serta kompleks dan melibatkan sektor-sektor utama sebuah negara seperti sektor ekonomi, kewangan dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette