Home Nasional PTPTN lulus bantuan kewangan untuk lapan beradik yatim piatu akibat COVID-19

PTPTN lulus bantuan kewangan untuk lapan beradik yatim piatu akibat COVID-19

Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  akan memberikan bantuan kepada lapan beradik yang menjadi yatim piatu selepas kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat COVID-19.

Pengerusinya Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata beliau juga telah meluluskan peruntukan kewangan segera yang akan disampaikan pegawai PTPTN.

“Kita akan periksa dahulu bentuk sumbangan yang sesuai, dan saya rasa demi masa depan mereka, adalah baik jika kita berikan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk anak-anak ini.

“Saya telah mengarahkan pegawai PTPTN memberikan bantuan yang sesuai hari ini juga. Skuad PTPTN Prihatin akan membantu dengan segera. Bebanan yang ditanggung oleh anak-anak ini adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Sedih dengan musibah yang melanda keluarga itu, Wan Saiful berharap bantuan yang disalurkan itu akan dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung meskipun ia tidak akan dapat menggantikan ibu bapa yang meninggal dunia.

Beliau dimaklumkan anak sulung keluarga itu merupakan pelajar politeknik manakala tujuh orang lagi juga masih belajar.

Baru-baru ini tular di media sosial kisah lapan beradik yang berumur antara empat hingga 19 tahun menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka pergi buat selama-lamanya dalam tempoh tiga hari akibat wabak COVID-19.

— BERNAMA