KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengambil inisiatif untuk membantu pengamal industri muzik yang memerlukan bantuan kewangan segera dengan pembentukan Dana Tabung Kecemasan.
Menurut Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, di bawah inisiatif itu, penerima terpilih adalah terdiri daripada mereka yang terlibat atau telah menyumbang kepada industri rakaman dan yang pendapatannya terjejas teruk atau hilang sepenuhnya akibat pandemik Covid-19.
“Kami telah membaca dan mendengar penderitaan ramai pengamal industri muzik yang berjuang untuk memenuhi keperluan harian disebabkan pandemik yang telah menghentikan projek rakaman lagu dan yang secara ketara membatasi peluang menjana pendapatan lain bagi para pengamal dalam industri muzik.
“Pertunjukan secara langsung juga terhenti dengan adanya sekatan yang dilaksanakan sehingga menyukarkan ekosistem industri muzik untuk menjana pendapatan yang berkelanjutan untuk pengamal industri muzik”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, kata Rosmin, sejak pelantikan Ahli Majlis Baru RIM untuk penggal 2021-2023, pihaknya juga telah kembali aktif untuk merangka pelbagai strategi demi mengembangkan industri muzik tempatan yang dapat memanfaatkan ahli-ahli kami dan industri muzik secara keseluruhan.
“Sumbangan kami kepada pihak yang terlibat akan mematuhi parameter dan syarat yang memungkinkan kami membuat pilihan dan keputusan penerima dana dengan sebaik mungkin. Kami berharap bahawa sumbangan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada pengamal industri muzik yang terjejas.
“Kami juga sebenarnya, sedang merancang aktiviti pengumpulan dana yang berskala lebih besar dengan kerjasama Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) yang melibatkan pertandingan menulis lagu dan proses bidaan lagu yang akan dapat membantu kami mengumpul lebih banyak dana untuk memberikan lebih banyak bantuan kepada pengamal industri muzik yang memerlukan.
“RIM akan terus meneroka peluang kolaborasi lain dengan kumpulan atau badan yang berkaitan dengan industri muzik untuk pengumpulan dana bagi inisiatif amal kami seterusnya di masa hadapan.”katanya.
Sementara itu, menurut Rosmin, inisiatif amal RIM dimulakan dengan sumbangan RM1,000 kepada Kid (gitaris kumpulan popular Search) untuk dana rawatan barah isterinya.
Sumbangan RM1,000 juga akan diberikan kepada komposer terkenal, Ross Ariffin yang nasib malangnya dipaparkan di media baru-baru ini .
Selain itu, RIM juga sedang bekerjasama dengan Persatuan Pemuzik Malaysia (MfM) untuk menyumbang sejumlah RM10,000 kepada 20 pemuzik rakaman yang tidak dapat mencari nafkah dengan penghentian projek rakaman lagu dan penutupan banyak pusat hiburan.
Untuk maklumat lebih lanjut, sila lawati www.rim.org.my atau ikuti kami di facebook.com/RecordingIndustryMalaysia, @recordingindustrymalaysia di Instagram dan @rim_malaysia di Twitter. – MalaysiaGazette