Home Nasional Ubah hukuman langgar SOP solat berjemaah – DPIP

Ubah hukuman langgar SOP solat berjemaah – DPIP

Mohammad Amirul Saharuddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan wajib mengubah hukuman terhadap mereka yang ditahan kerana menunaikan solat secara berjemaah.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Perak, Mohammad Amirul Saharuddin berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu hingga ke pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), ramai yang telah dikenakan kompaun kerana melanggar Porsedur Operasi Standard (SOP) solat berjemaah.

Katanya, tidak dinafikan solat berjemaah ketika PKP merupakan satu kesalahan kerana dikhuatiri akan menyumbang kepada kluster baharu, namun hukuman yang dikenakan terhadap mereka yang melanggar SOP adalah tidak wajar.

“Sebagai contoh 12 orang yang ditahan baru-baru ini digari oleh pihak berkuasa…Apakah kesalahan yang mereka lakukan setaraf dengan jenayah membunuh atau merompak hingga perlu digari?

“Bukan mahu menyalahkan pihak polis kerana mengambil kira prosedur yang ditetapkan. Tetapi, cara begitu akan mengundang persepsi buruk dunia terhadap negara, apatah lagi Malaysia adalah negara Islam namun bertindak sedemikian terhadap mereka yang melanggar SOP bersolat adalah sesuatu yang tidak kena,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohammad Amirul berkata, isu sebegitu perlu diambil perhatian terutama oleh menteri agama kerana ia melibatkan soal agama.

Ujarnya, sejak dari awal PKP hingga sekarang, rakyat telah banyak melihat pelbagai jenis hukuman berkaitan pelanggaran SOP solat berjemaah tetapi, menteri agama masih mendiamkan diri.

“Tidak pasti samada ada usaha mencadangkan hukuman yang lebih wajar kepada MKN dalam isu ini tapi belum pernah nampak atau terbaca apa-apa cadangan dari pihak menteri agama.

“Ini amat menyedihkan kerana hanya solat berjemaah diperlakukan begitu seperti jenayah berat. DPIP ingin menasihatkan kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 jangan hingga bertindak berat sebelah lebih lagi dalam soal agama,” tambahnya. – MalaysiaGazette