GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mendakwa kerajaan DAP negeri itu lemah susulan mengambil masa yang panjang untuk memberi maklum balas berhubung kritikan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).
Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, tindakan kerajaan Negeri Pulau Pinang lambat memberi maklum balas kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) atas kritikan berhubung projek PSR disifatkan sebagai burung unta yang menyembunyikan kepala di dalam pasir.
Kata beliau, kerajaan negeri mengambil masa lebih sebulan untuk mendapatkan alasan yang tidak meyakinkan, sekali gus menunjukkan kelemahan kerajaan.
“Banyak persoalan timbul antaranya mengapa Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC) menggunakan masa lebih daripada satu bulan bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam isu PSR?
“Adakah kerajaan negeri ini tidak mempunyai fakta yang kukuh dan sebaliknya cuba mencari alasan dalam tempoh lebih satu bulan itu untuk menjawab isu yang dibangkitkan MAFI?”, soal Tong Keong.
Mengulas lanjut, Tong Keong menyeru kerajaan Pulau Pinang berhenti mencari alasan untuk melaksanakan projek PSR kerana rakyat negeri itu tidak mahu projek tersebut dilaksanakan.
“Projek PSR akan memusnahkan ekosistem lautan semula jadi maka tidak bermakna lagi untuk pihak kerajaan negeri menanam pokok bakau, melepaskan benih ikan dan udang serta menyediakan dana untuk kaji selidik tentang ekologi lautan.
“Justeru, adalah lebih baik untuk kerajaan negeri membatalkan PSR,” ujar Tong Keong. – MalaysiaGazette