Saudara Pengarang,
Mungkin ramai yang masih ingat peristiwa di United Kingdom (UK) tanggal 8 Disember yang lalu, kisah seorang wanita berusia hampir satu abad menerima suntikan vaksin Covid-19.
Namanya Margaret Keenan, 91, individu pertama di UK menerima pelalian berkenaan dengan dos pertama pada 8 Disember sebelum dos kedua menyusul tiga minggu selepas itu.
Suntikan vaksin ke atas wanita ini adalah permulaan kepada program pelalian terbesar dalam sejarah UK moden dan kira-kira lapan bulan kemudian, 88 peratus populasi negara itu sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan 66.8 peratus melengkapkan imunisasi mereka setakat 19 Julai.
Tarikh 19 Julai juga menyaksikan Kerajaan UK mengumumkan pengakhiran sekatan pergerakan tegas atau ‘lockdown’ yang dikenakan bagi mengekang dan memutuskan rantaian penularan Covid-19.
Tarikh sama digelar oleh media UK sebagai Hari Kebebasan atau ‘Freedom Day’ ketika penduduk negara berkenaan bersiap sedia untuk kembali kepada norma kehidupan sebelum virus corona menyerang dan mengancam nyawa.
Ia antara lain bermakna tiada lagi kewajipan pemakaian topeng separuh muka, manakala semua sektor termasuk sektor sosial seperti pawagam boleh beroperasi semula sepenuhnya.
Namun, jangkitan baharu Covid-19 di UK tetap direkodkan, malah meningkat dalam tempoh beberapa minggu lalu, termasuk 46,558 kes yang dicatatkan pada 20 Julai.
Dalam tempoh tujuh hari sebelum itu pula, 332,068 kes keseluruhan dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 40.7 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya.
Jangkitan Covid-19 di Malaysia pada 20 Julai pula adalah 12,366 kes. Untuk rekod, populasi negara kita kira-kira separuh lebih rendah daripada UK.
Antara 1 Jun hingga 19 Julai, 950,000 jangkitan baharu direkodkan di UK hanya dalam tempoh 49 hari itu berbanding kes kumulatif di Malaysia yang juga dalam julat sama tetapi direkodkan sejak hari pertama pandemik melanda 18 bulan lalu.
Pembukaan semula sektor ekonomi UK diputuskan berasaskan tiga tanda aras utama, iaitu kadar kematian akibat Covid-19 yang rendah, kadar vaksinasi yang tinggi dan juga situasi ekonomi yang teruk terjejas akibat sekatan pergerakan berterusan.
Merujuk tanda aras pertama, kadar kematian disebabkan Covid-19 di UK adalah 0.4 kes bagi setiap 100,00 penduduk, iaitu antara yang paling rendah di dunia.
Pada 20 Julai, sebanyak 99 kematian dilaporkan di UK, jauh lebih rendah berbanding purata 20,000 kematian setiap hari yang direkodkan di negara itu pada akhir Januari lalu.
Ketika ini, kes kematian semasa di UK akibat Covid-19 adalah sama dengan kes-kes kematian disebabkan selesema biasa.
Dalam program imunisasi penduduknya pula, ia meningkat mendadak dengan dua pertiga populasi UK sudah menerima pelalian lengkap dua dos vaksin dan hampir 90 peratus sudah menerima dos pertama.
Sama seperti negara-negara lain, sekatan pergerakan yang dilaksanakan UK sebelum ini adalah bagi menyelamatkan ekonominya daripada ‘lemas’. Tahun lalu, ekonomi UK menguncup sebanyak 9.9 peratus, penyusutan terbesar dalam sejarah 300 tahun negara itu.
Pada suku pertama tahun ini pula, Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) UK menguncup sebanyak 1.5 peratus lagi yang menyaksikan negara itu menanggung kehilangan hasil sangat besar mencecah beberapa trilion ‘pound’.
Kerajaan UK membuka semula ekonominya selepas mengambil kira apa kesan yang lebih buruk daripada dua pilihan yang ada – hidup bersama pandemik ketika kes kematian kerana Covid-19 tiada beza dengan kadar kematian akibat selesema biasa atau membiarkan ekonomi negara terus ‘lemas’ dengan sekatan pergerakan berterusan.
Ketika satu daripada ekonomi terbesar di Eropah dalam proses bangkit semula dengan menarik balik sekatan pergerakan, dunia pastinya memberi tumpuan bagaimana UK menghadapi cabaran-cabaran wabak ini sambil mengutamakan ekonomi negara tersebut.
Pengalaman UK seharusnya memberi pengajaran berharga kepada negara-negara lain termasuk Malaysia.
Projek Pemulihan Negara yang datang serentak ketika program vaksinasi semakin rancak, akan memastikan kerajaan dapat melaksanakan perancangan yang lebih tersusun dalam mendepani pandemik melalui perancangan yang amat jelas.
Bagaimanapun, kejayaan pelan itu amat bergantung kepada kerjasama rakyat dalam mematuhi peraturan ditetapkan, terutama pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Rozilan Mohd Fitri
Bukit Jelutong, Selangor
Setiap negeri mesti mempunyai target harian vaksinasi, tetapi ada negeri vaksinasinya tidak sampai 1000 sehari. Kalau bergini caranya bila hendak selesai vaksinasi. Jangan sampai jumlah harian jangkitan covid lebih tinggi dari harian vaksinasi.