Home Politik Terima kasih tanya soalan Memali kepada Dr M – Hadi

Terima kasih tanya soalan Memali kepada Dr M – Hadi

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan terima kasih kepada individu yang bertanyakan soalan berhubung Memali sehingga memulakan insiden kekecohan dalam forum Nothing To Hide 2.0 pada Ahad lalu.

Abdul Hadi Awang

Abdul Hadi berkata, tidak ada sebab untuk marah kepada soalan yang diajukan tersebut dan anak muda yang bertanyakan soalan itu tidak wajar dipersalahkan kerana menuntut kebenaran.

“Terima kasih diucapkan kepada mereka yang meminta penjelasan berkenaan peristiwa Memali.

“Kepada yang tidak mampu menjawab sepatutnya tidak marah dan orang lain tidak membuat kekecohan. Anak-anak muda sahaja tidak sepatutnya dipersalahkan, sepatutnya juga dipersalahkan yang menjadi penyebabnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Forum Nothing to Hide 2.0 menyaksikan berlaku kekecohan dengan objek dilontar ke arah Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bekas perdana menteri itu menjawab pertanyaan mengenai peristiwa Memali.

Menurut Hadi, selepas kejadian Memali, Pas mengisytiharkan mereka yang terbunuh sebagai mati syahid kerana mempertahankan Islam.

“Ketika itu Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakannya dipersalahkan, bukan pula dipersalahkan orang yang selalu menghina Islam dan hukumnya yang sangat dimarahi oleh Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan.

“Ramai kakitangan kerajaan, polis dan UMNO tidak bersetuju dengan pendekatan yang dilakukan sehingga mengorbankan polis yang dipaksa dan Ustaz Ibrahim dan rakan-rakannya yang diserang. Kita mengharapkan yang dipaksa juga mendapat syahid, inilah hukum Islam,” katanya.

Abdul Hadi juga meminta Dr Mahathir supaya meminta maaf dan bertaubat kerana ketika itu beliau merupakan perdana menteri dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam insiden tersebut.

“Tiada guna mengungkit cerita lama sejarah hitam itu tanpa bertaubat dan meminta maaf sekiranya bersalah, dan tanpa membetulkan keadaan dengan membayar yang perlu dibayar dan mengganti yang perlu diganti,” katanya. – MalaysiaGazette