KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 263,900 karton rokok tanpa cukai dan 249,624 botol bedak bernilai lebih RM9.03 juta hasil serbuan di sebuah gudang sekitar Kawasan Perindustrian Taman Klang Jaya, Klang pada Khamis lepas.
Komander PPM Bukit Aman, DCP Mohd Yusoff Mamat berkata, Op Kontraban yang dilaksanakan oleh Unit Risikan Marin PPM Pelabuhan Klang itu mengenal pasti sebuah gudang yang mencurigakan dan didapati pintu gudang bertutup tetapi tidak berkunci.
Katanya, pasukan serbuan menjalankan operasi pada pukul 10.45 pagi di gudang itu dan mendapati sebuah kontena mengandungi 263,900 karton rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM913,720 dengan nilai cukai berjumlah RM5.62 juta.
“Turut ditemukan sejumlah kotak berisi bedak di dalam gudang tersebut dipercayai tidak mempunyai kelulusan di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang dianggarkan bernilai RM2.49 juta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas gudang tersebut menjumpai kesan umpil pada tingkap bilik air dipercayai digunakan oleh ahli sindiket untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan serbuan.
“Siasatan awal menunjukkan gudang tersebut dipercayai dijadikan transit sebelum rokok dan barang lain diedarkan serta menyewa gudang dalam jangka masa pendek untuk menjalankan aktiviti pemindahan rokok dari kontena ke lori,” ujarnya.
Mohd Yusoff berkata, pihaknya turut merampas sebuah treler dan kontena bernilai RM60,000 menjadikan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM9.09 juta.
“Rokok dan kontena telah dirampas di bawah Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysa manakala bedak dirampas dan diserahkan kepada Bahagian Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” tambahnya. – MalaysiaGazette