PETALING JAYA – Dengan peningkatan kes harian positif Covid-19 yang melebihi 15,000, rata-rata rakyat tidak bersedia untuk diberi kelonggaran bergerak walaupun mereka telah menerima dua dos vaksin.
Bagi Patrick, 54 tahun, kemunculan varian Delta boleh merebak dengan cepat membimbangkan rakyat.
Walaupun ada yang bimbang, namun katanya, tidak semua mampu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sekiranya diberi kelonggaran.
“Tidak boleh bagilah, sudah vaksin dua kali pun sekarang ada delta variant bahaya. Sebab kalau bagipun kena ada SOP.
“Tidak boleh bukan semua boleh patuh SOP, tengok Amerika Syarikat sekarang banyak orang dijangkiti, tiba-tiba baik kemudian datang delta lain lagi.
“Kelonggaran pun kalau ke tempat ramai pun susah juga. Semua pentingkan diri, tak kisah ikut SOP. Kalau semua ikut SOP semua senang, cari makan pun senang,” katanya kepada
Francis, 52 tahun pula berpendirian, sekarang bukan masa yang sesuai untuk memberikan kelonggaran kepada penerima dua dos vaksin Covid-19.
Sebaliknya jelas beliau, kerajaan perlu memastikan imuniti kelompok dapat dicapai atau sekurang-kurangnya memenuhi sasaran iaitu 80 peratus daripada penduduk negara selesai divaksin.
Kata Francis, kelonggaran bergerak sama ada merentas daerah atau merentas negeri perlu seiring dengan imuniti kelompok.
“Belum masanya kelonggaran perlu diberikan apabila kuota capai imuniti kelompok, kita kena capai dulu kadar vaksinasi, percepatkan pemberian vaksin,” ujarnya.
Mohd Arif Mohd Noor pula tidak menolak bakal wujud isu berbangkit sekiranya individu yang lengkap menerima dua dos vaksin diberikan kelonggaran.
Meskipun berharap diberi kebenaran merentas daerah dan negeri dengan tujuan yang munasabah, namun dalam masa yang sama, beliau yakin, ramai khususnya yang belum divaksin tidak akan berpuas hati kelak.
“Yang sudah dapat dua dos vaksin ada kelebihannya, cuma ada juga ketidak adilan kepada yang belum dapat vaksin ia akan jadi isu yang besar tapi kalau rata-rata kami mengharapkan berita baik dari kerajaan yang boleh diguna pakai.
“Sekarang ni pun kes semakin hari semakin naik. Kalau saya secara peribadi berikan penerima vaksin dua dos rentas daerah dan negeri dengan SOP yang diketatkan. Nak rentas kena ada tujuan yang munasabah,” tambahnya.
Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 dijangka menerima berita baik tidak lama lagi.
Katanya, pengumuman kelonggaran SOP itu akan diumum beberapa hari lagi. – MalaysiaGazet