Home Ekonomi Jumlah penduduk perempuan meningkat tahun ini

Jumlah penduduk perempuan meningkat tahun ini

KUALA LUMPUR – Jumlah penduduk perempuan warga negara Malaysia meningkat kepada 14.2 juta pada tahun ini berbanding 14 juta pada tahun lalu.

Manakala jumlah penduduk lelaki warga negara pula 14.5 juta pada tahun 2017 berbanding 14.4 juta pada tahun 2016.

Jabatan Statistik berkata, pada tahun ini penduduk negara berjumlah 32 juta orang berbanding 31.6 juta atau peningkatan 1.3 peratus.

Menurutnya, penduduk tua (65 tahun ke atas) pada tahun ini adalah 6.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Malaysia dijangka mencapai penuaan penduduk pada tahun 2020 dengan peratus penduduk umur tua melebihi 7.0 peratus.

Peningkatan itu memberi kesan kepada nisbah tanggungan umur tua.

Bagi kadar kesuburan, 1.9 orang anak dilahirkan oleh seorang wanita berusia antara 15-49 tahun dan kadar kelahiran kasar adalah 16.1 bagi setiap 1,000 penduduk.

Penurunan kadar kesuburan merupakan salah satu faktor demografi yang menyumbang kepada penuaan penduduk.

Kadar kematian kasar adalah 5.2 dalam 1,000 penduduk dan 4.5 kelahiran mati bagi setiap 1,000 penduduk.

Seorang bayi perempuan yang lahir pada tahun 2017, dijangka boleh hidup 4.7 tahun lebih lama berbanding bayi lelaki, kata Jabatan Statistik. – MalaysiaGazette