PULAU PINANG – Walaupun pendaftaran durian dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mampu memberi nilai tambah malahan meningkatkan jualan, tetapi tidak ramai pekebun durian Balik Pulau di Pulau Pinang yang sedia melakukannya.
Kwong Wah Yit Poh melaporkan, Jabatan Pertanian Pulau Pinang telah mendapat hak intelek untuk tujuh jenis durian negeri itu termasuk klon 600, Balik Pulau 604, klon D11, Horlor, Ang Bak, Udang Merah dan D15.
Walaupun begitu, ramai pekebun di Balik Pulau belum bersedia mendaftarkan durian mereka dengan Jabatan Pertanian sekali gus tidak dapat menjual durian menggunakan nama-nama yang telah didaftarkan.
Pekebun di Balik Pulau sebaliknya lebih selesa menjual hasil tanaman mereka menggunakan ‘nama durian ciptaan sendiri’.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang juga pengarang buku mengenai durian, Law Choo Kiang berkata, pendaftaran bertujuan membolehkan kerajaan mencatatkan jenis durian yang ada dan memberikan persijilan yang sewajarnya.
Dengan menerima ‘nama rasmi’ yang diperakui, durian berkenaan dijangka dapat dijenama, dipromosi dan dijual dengan lebih berkesan.
“Sesejenis durian tidak boleh didaftarkan sewenang-wenangnya hanya kerana rasanya sedap.
“Ia perlulah mempunyai hasil keluaran yang baik pada satu-satu musim untuk membolehkan ia menjadi satu jenama durian,” katanya.
Persatuan Pekebun Buah-Buahan Pulau Pinang, Wang Zhi Ming berkata, terdapat pelbagai jenis durian di Balik Pulau dan bukan semuanya mempunyai hasil tuaian yang banyak.
Katanya, pekebun digalakkan menjual durian mengikut ‘jenama sendiri’ daripada mendaftarkan hasil durian mereka untuk mendapat ‘jenama rasmi’