KUALA LUMPUR – Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilihat semakin mencabar sekiranya kerajaan masih mengekalkan pelan “lockdown” yang sama.
Ini kerana, jumlah kes harian baharu Covid-19 tidak menurun sebaliknya terus meningkat meskipun bermacam strategi telah digunakan, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.
“Hari ini mencatatkan angka statistik Covid-19 yang membimbangkan. Pertama, jumlah kumulatif Covid-19 di negara kita melangkaui angka satu juta kes, iaitu 1,013,438 kes.
“Kedua, jumlah kes baharu terus menunjukkan angka tertinggi dua hari berturut-turut iaitu 15,902 semalam, manakala 17,045 pada hari ini. Jumlah kes harian Covid-19 kekal tinggi di Selangor dan Kuala Lumpur walaupun lanjutan PKP penuh masih berjalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahir berkata, sebagai perbandingan, pada hari pertama PKP penuh 1 Jun lalu, kes harian adalah 7,105 kes.
Jumlah kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah 872 kes dan kes kematian harian adalah 71 kes, katanya.
Bagaimanapun jelas Shahir, hari ini, kes harian terus mencanak naik dan ia bermakna PPN makin mencabar untuk ke fasa dua.
“Setakat ini, petunjuk positif adalah hanya kadar vaksinasi yang melangkaui 500,000 dos sehari.
“Namun begitu, aspek vaksinasi sahaja tidak menjamin penurunan kes Covid-19 kerana masih banyak kes yang terjadi setelah divaksin. Harus diingat bahawa vaksinasi tidak memberi jaminan 100 peratus untuk tidak dijangkiti Covid-19,” ujarnya.
Tambah beliau, sektor perkilangan atau kluster tempat kerja kekal menjadi kluster dominan harian bagi PKP 3.0 iaitu sekitar 90 peratus setiap hari.
Sektor kilang dan tauke-tauke itu merasakan diri mereka kebal dari Covid-19 hingga menjadikan pekerja sebagai mangsa, katanya.
“Bayangkan berapa ramai anak-anak yang menjadi yatim piatu disebabkan kluster tempat kerja.
“Sektor kilang di Selangor dan Kuala Lumpur masih dibuka beroperasi dan kebanyakannya tidak mematuhi SOP yang ditetapkan dengan tiada had pekerja pada sesuatu masa.
“Keadaan seperti ini menyebabkan kes harian tetap mencanak dan tidak akan turun. Ianya umpama kita patah tangan kanan, tetapi yang dirawat adalah kaki kiri. Masalah Covid-19 di negara kita tidak akan diselesaikan jika kluster terbesar, iaitu kluster tempat kerja tidak ditangani dengan betul,” jelasnya.
Justeru, Shahir menggesa kerajaan dan rakyat untuk bergading bahu dalam membanteras Covid-19 dan pemimpin perlu menunjukkan contoh baik dalam menangani wabak itu.
“Jangan pula rakyat dikurung, tetapi pemimpin bebas menari dan berdansa. Ada juga yang melanggar SOP dengan ramai-ramai menjamu durian. Semua pihak perlu berkorban untuk kebaikan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette