Home Politik Ahli Parlimen UMNO kekal duduk di blok kerajaan

Ahli Parlimen UMNO kekal duduk di blok kerajaan

IMBAS. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) berbual bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir pada Sidang Khas Parlimen di dalam Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri dan ahli Parlimen dari UMNO kekal duduk di blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat hari ini walaupun parti itu telah menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri dari UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat duduk bersama bersebelahan Muhyiddin bersama menteri Kabinet lain seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sebelum ini Mohamed Azmin duduk di sebelah Muhyiddin.

Ahli Parlimen UMNO seperti Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) juga dilihat duduk di blok PN walaupun sebelum ini menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Semalam, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu telah memutuskan semua menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari UMNO perlu melepaskan jawatan mereka sekiranya Ordinan Darurat terus berkuatkuasa selepas 1 Ogos ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan desakan Umno bahawa pengisytiharan dan Ordinan Darurat mesti dimansuhkan semasa sidang khas Parlimen hari ini.

Memetik Perlembagaan Persekutuan, Ahmad Zahid berkata, menurut Perkara 150 (7), peraturan darurat akan terus berkuatkuasa selama enam bulan lagi setelah berakhirnya proklamasi darurat kecuali dimansuhkan oleh parlimen.

Mesyuarat khas Dewan Rakyat selama lima hari yang bermula hari ini akan menyaksikan menteri Kabinet memberikan penerangan kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai tindakan menangani Covid-19.

Persidangan khas Parlimen diadakan setelah Yang di-Pertuan Agong bertitah agar Parlimen bersidang segera. – MalaysiaGazette