KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia khususnya (KKM) masih terus menasihatkan orang
ramai supaya terus mengamalkan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)
melalui pendekatan 3W (Wash, Wear, Warn) dan dengan mengelakkan 3S atau 3C
iaitu jauhi kawasan yang Sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang Sempit
(Confined space) dan elak Sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close
conversation). Ini merupakan budaya kehidupan yang baharu yang mungkin akan
kekal sebagai rutin kehidupan sehinggalah wabak ini berkurangan atau terhapus
sama sekali, kerana menyedari tentang kepentingannya dalam menjaga kesihatan
diri dan keluarga. Bagi mencegah dan mengurangkan penularan ini,
Pada masa yang sama, kebersihan persekitaran juga amat di titik beratkan. Selain
SOP, kebersihan persekitaran dan peralatan yang digunakan atau disentuh haruslah
dibersihkan. Ini adalah kerana virus Covid19 tidak hanya tersebar melalui pernafasan tetapi melalui tangan yang tidak dibersihkan bilamana ianya menyentuh mata, mulut dan hidung dengan permukaan yang telah dijangkiti. Kita kerapkali terlepas pandang akan kebersihan persekitaran dan alat-alat kegunaan peribadi yang lain.
Oleh yang demikian, amatlah penting untuk menjaga kebersihan persekitaran seperti
kawasan persekitaran tempat kerja, di luar dan di dalam rumah, terutama persekitaran yang melibatkan keberadaan orang lain. Selain itu, kebersihan gajet atau peralatan yg sering digunakan terutamanya telefon pintar, tablet, dan komputer harus juga diambilkira bagi tujuan pembersihan. Kebersihan kawasan dan alatan ini haruslah dipastikan bersih, samaada melalui rutin pembersihan atau bila mana berlaku kontiminasi atau telah terdedah kepada mereka yang telah dijangkiti. Pembersihan ini dapat membantu dalam memastikan pernularan jangkitan ini boleh dicegah dan risiko jangkitan dapat dikurangkan.
Kebersihan persekitaran ini tidak harus diambil mudah kerana ianya boleh menjadi
tempat pembiakan virus. Kajian menunjukkan bahawa virus Covid-19 ini boleh
kekal hidup untuk satu jangka masa yang tertentu seperti 8 jam bagi permukaan
kadbod dan 72 jam (bersamaan lima hari) pada permukaan seperti plastik dan keluli.
Secara amnya, koronavirus boleh kekal hidup di permukaan selama dua jam sehingga 9 hari bergantung kepada jenis permukaan. Permukaan yang kerap disentuh seperti pemegang pintu atau tingkap, meja makan, alat kawalan jauh televisyen atau lengan kerusi, haruslah sentiasa dibersihkan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci nyahkuman permukaan yang sesuai bagi mengelak kerosakan pada permukaan alatan. Oleh yang demikian, kebersihan permukaan yang berkesan dengan menggunakan bahan pembasmi kuman yang betul adalah amat disarankan bagi mengawal sebaran jangkitan virus ini.
Selain dari itu, persekitaran luar dan dalam rumah atau tempat kerja yang bersih juga penting bagi mengurangkan tempat pembiakan nyamuk aedes yang boleh menyebabkan penyakit denggi. Perlu diingatkan bahawa di dalam situasi pandemik ini, negara turut juga mencatatkan bilangan kes denggi yang tinggi. Laporan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan peningkatan kes denggi sebanyak 8% setiap minggu pada Januari hingga Jun 2020 dengan jumlah kes 48,584 dan 84 kematian.
Faktor utama yang mempengaruhi peningkatan kes demam denggi adalah persekitaran yang tidak bersih. Oleh itu, menjaga kebersihan kawasan persekitaran dan memusnahkan tempat takungan air yang membolehkan nyamuk aedes membiak adalah penting bagi tujuan ini. Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan telah menunjukkkan penurunan bilangan kes denggi untuk tempoh yang sama pada tahun ini. Penurunan kes sebanyak 75% dengan bilangan kes 12,188 dan sebanyak 91% dengan bilangan kematian 8 kes.
Ini menunjukkan, masyarakat telah mengambil kesempatan PKP ini untuk membersihkan kawasan persekitaran. Sejurus itu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba turut menyarankan masyarakat agar terus menjaga kebersihan persekitaran dan hapuskan segala tempat pembiakan nyamuk aedes ini agar kes denggi turut dapat dikawal dengan baik. Kes denggi yang endemik ini telah menjadi beban kepada kesihatan awam di Malaysia selama ini.
Oleh yang demikian, periksalah kawasan disekeliling dalam dan luar rumah sentiasa, bersihkan tempat-tempat yang boleh menjadi kawasan pembiakan nyamuk dan tingkatkan amalan kebersihan ini dikalangan ahli keluarga demi keselamatan diri, ahli keluarga dan mereka yang tinggal berhampiran. Adalah menjadi harapan agar penjagaan
persekitaran ketika pandemik ini dapat dikekalkan atau menjadi lebih baik walaupun
pandemik berakhir, agar kes denggi ini dapat terus dibendung.
Amalan mementingkan kekemasan dan kebersihan persekitaran di dalam dan di luar
rumah juga merupakan faktor yang penting bagi menjalankan kehidupan yang lebih
sihat dan ceria. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kelangsungan hidup menjadi
faktor utama di dalam kotak pemikiran masyarakat pada ketika ini dimana masalah
ekonomi diri serta keluarga yang semakin meruncing semenjak pandemik ini melanda dunia.
Namun begitu, meluangkan masa membersihkan persekitaran dalam dan luar rumah juga mamainkan peranan penting dalam mencapai kesejahteraan hidup dan kesihatan diri dan keluarga yang baik. Persekitaran yang bersih bukan sahaja membuatkan setiap penghuni berasa selesa malah mendapat ketenangan fikiran dan kebahagiaan jiwa serta dapat menjalani kehidupan harian yang lebih sihat.
Setiap individu haruslah mementingkan aspek kebersihan dan perlu hidup secara sihat serta mengamalkan kebersihan diri pada tahap yang maksimum. Masyarakat harus sedar bahawa apa yang lebih penting dilakukan pada tahap ini ialah menjaga kesihatan diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling kita.
Pematuhan SOP dan amalan kebersihan yang tinggi perlu diutamakan. Oleh, itu marilah kita sama-sama menjaga kesihatan diri samaada dari segi fikizal mahupun psykologi, peka terhadap kebersihan peralatan dan kawasan persekitaran supaya jangkitan dapat dihidarkan.
Dr. Azwatee Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan dan Pakar Klinikal, Fakulti Pergigian,
Universiti Malaya (UM) &
Prof Madya Dr. Normaliza Ab Malik,
Pensyarah dan Pakar Klinikal Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)