KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan dengan pertuduhan penyewelengan dana lebih RM1.2 juta hari ini membayar baki wang jaminan mahkamah sebanyak RM250,000.
Wang ikat jamin yang dikenakan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan itu berjumlah RM330,000 yang mana beliau telah membayar sebanyak RM80,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan permohonan peguam Syed Saddiq, Gobind Singh yang memaklumkan anak guamnya memerlukan masa untuk membayar wang jaminan.
Pada Jumaat lalu, Syed Saddiq berjaya mengumpulkan lebih RM715,000 dalam masa 24 jam selepas merayu sumbangan orang ramai melalui pendanaan awam.
Syed Saddiq memaklumkan jumlah keseluruhan yang berjaya dikutip berjumlah RM715,573.77 daripada 9,836 penderma, seperti yang dinyatakan dalam catatan Facebook.
Jumlah itu adalah dua kali ganda daripada wang jaminan yang dikenakan ke atas tertuduh.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette