JUMLAH kes jangkitan Covid-19 masih belum menunjukkan tanda-tanda penurunan. Malah kes-kes yang kritikal dan kes kematian disebabkan oleh Covid-19 semakin meningkat hari demi hari. Varian Delta semakin mengganas dan menjadi mimpi ngeri. Hospital-hospital seluruh negara menjadi semakin sesak dengan limpahan pesakit sehingga setiap ruang dan sudut yang ada menjadi wad sementara. Tidak cukup dengan itu, khemah-khemah juga mula dibuka untuk menampung jumlah pesakit yang terlalu ramai. Bukan itu sahaja, Pusat Kuarantin dan rawatan Covid-19 PKRC) dan Pusat PenilaianCovid-19 juga semakin sesak.
Kesemua tempat-tempat ini memerlukan tenaga pegawai perubatan dan pegawai perubatan kontrak. Doktor-doktor muda ini adalah penyumbang tenaga terbesar selain jururawat dan pekerja kesihatan yang lain. Kita mendengar keluhan para pegawai perubatan kontrak ini yang tertekan kerana menghadapi beban kerja yang teruk tetapi tiada jaminan untuk terus bekerja, dinafikan peluang untuk sambung belajar dan tidak mendapat imbuhan dan kemudahan setimpal dengan pegawai perubatan berjawatan tetap.
Beban kerja adalah sama cuba tetapi banyak hak yang dinafikan. Rentetan daripada ini ada diantara pegawai perubatan ini yang bekerja di hospital-hospital yang terjejas teruk telah mengambil keputusan berhenti kerja dengan notis 24 jam. Isu pegawai perubatan kontrak ini telah bermula sejak tahun 2016 lagi. Akibat daripada lambakan pegawai perubatan siswazah hasil daripada pertumbuhan sekolah perubatan yang banyak dan tidak terkawal, penjawatan kekal menjadi sangat terhad di Kementerian Kesihatan. Waktu itu tiada mogok atau bangkangan daripada mana-mana badan atau orang perseorangan termasuk doktor-doktor itu sendiri. Penambahan secara mendadak pegawai perubatan siswazah ini membawa kepada isu latihan dan pengetahuan kepada doktor-doktor muda ini.
Masa menunggu yang terlalu lama sebelum mereka dapat penempatan sebagai pegawai perubatan siswazah dan lambakan di setiap jabatan sehingga sistem syif terpaksa dibuat menyebabkan doktor-doktor muda ini kurang mendapat peluang latihan dan menajamkan lagi pengetahuan yang berkarat. Akibatnya ramai yang mengambil masa yang lebih lama untuk menamatkan tempoh sebagai pegawai perubatan siswazah dan ini memberi kesan kepada pelajar perubatan yang sedang menunggu penempatan. Sistem syif juga
menyebabkan doktor-doktor muda ini kurang dekat dengan hospital dan pesakit, tiada
kesinambungan dalam perawatan dan kurang peluang untuk belajar melakukan prosedur-
prosedur penting.
Kepenatan menghadapi pesakit-pesakit Covid-19 dengan kemudahan yang terhad
ditambah dengan polemik kontrak yang tiada jawapan menyebabkan doktor-doktor muda ini mula bersuara menyatakan kebimbangan mereka. Kerja teruk tetapi tiada jaminan masa depan. Mereka juga merancang mengadakan mogok jika tuntutan mereka tidak dipedulikan. Sehubungan dengan itu satu perbincangan serius telah diadakan dan keputusannya telah dibawa ke kabinet dan pengetahuan perdana menteri.
Sebelum tarikh mogok yang dirancang perdana menteri telah memberikan beberapa
langkah penyelesaian jangka pendek iaitu:
1. Dilanjutkan tempoh selama 2 tahun lagi selepas habis tempoh khidmat wajib;
2. Melanjutkan tempoh maksimum 4 tahun bagi pegawai perubatan yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak 2 tahun pertama;
3.Kontrak diuruskan setara dengan kerjaya pegawai bertaraf tetap serta ditawarkan
cuti belajar bergaji penuh dan 4. Menambah baik kemudahan seperti cuti tugas khas
perubatan, cuti tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.
Dalam keadaan negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan
ramai rakyat hilang pekerjaan dan tiada punca pendapatan, langkah penyelesaian ini adalah wajar diterima. Bukan sahaja pegawai perubatan yang berhadapan dengan masalah kontrak ini malah ianya telah lama berlaku kepada bidang-bidang lain seperti guru, peguam malah pekerja kesihatan lain seperti jururawat, pegawai sains dan pembantu perubatan.
Apabila seorang pegawai perubatan memulakan tugasnya dan digelar seorang doktor,
kita terikat dengan tanggungjawab yang besar. Gelaran doktor bukan boleh dipermainkan dan membawa bersamanya tanggungjawab yang besar. Pesakit adalah diutamakan dalam apa jua keadaan . Konsep ‘do no harm, if you can’t do any good ‘ juga harus sentiasa dipraktikkan. Sifat tanggungjawab inilah yang harus ditanamkan untuk setiap doktor sejak hari pertama bertugas dan terus dibawa sampai bila-bila selagi bergelar doktor. Selain hipocrates oath, bagi doktor muslim tanggungjawab menjalankan tugas atas pekerjaan dan imbuhan yang kita dapat akan ditanya oleh Allah.
Bagi doktor yang menyertai mogok pada 26 Julai baru-baru ini, benarkah mereka
tidak meninggalkan tanggungjawab mereka yang pastinya sangat banyak kerana limpahan pesakit di premis-premis kesihatan? Adakah pegawai perubatan tetap yang menanggung kerja mereka benar-benar dapat melakukan tugas yang sama tanpa memberi kesan pada perawatan pesakit yang ada? Dapatkah mereka mengekalkan sikap profesionalisme dengan menyertai mogok ini ? Benarkah mogok ini perlu dan tanpanya suara mereka tidak akan didengar atau bila dilakukan adakah semua tuntutan mereka akan dipenuhi segera dalam keadaan negara berhadapan dengan masalah ekonomi di musim pandemik ini?
Semua doktor dari dulu hingga sekarang telah melalui kesusahan yang berbeza-beza. Ada
fasa di mana bertugas atas panggilan tidak dibayar walau sesen pun. Walaupun haru menjaga satu wad yang penuh seorang diri hingga tidak ada masa untuk makan atau tidur, kerja tetap diteruskan. Kemudian sekitar tahun 2000, tugas atas panggilan mula dibayar sebanyak RM 25 sehari. Waktu ini, walaupun sudah menjadi pakar, tangga gaji dan jawatan tidaklah sebaik sekarang. Penambahbaikan terus berlaku dengan peningkatan elaun bertugas atas panggilan.
Tidak ada salahnya melihat sejarah lama supaya perbandingan dapat dibuat dan menerbitkan rasa lebih bersyukur. Pandemik COVID 19 dan limpahan pesakit -pesakit di premis-premis kesihatan adalah peluang untuk doktor-doktor muda ini mendapat latihan, belajar lebih banyak serta menambah ketahanan diri menghadapi masa depan. Pesakit adalah guru terbaik untuk seorang doktor, melebihi buku teks ataupun kuliah-kuliah yang ada. Di masa akan datang apabila mereka berpeluang menyambung pelajaran dalam apa jua bidang, cabaran yang datang akan lebih mudah dihadapi.
Apabila kita lihat kita susah. Cuba kita lihat ramai lagi pekerjaan lain yang masih
tidak dapat bekerja kerana akibat pandemik Covid-19. Kita rasa kita letih kerana bekerja
siang dan malam, tetapi adakah kita pikir ramai lagi rakyat di luar sana meraung untuk keluar bekerja tetapi terhalang akibat PKP. Kalau kita rasa kita dibayar sangat sedikit berbanding dengan pengorbanan yang kita telah lakukan, tetapi ketahuilah berapa ramai tidak ada duit untuk makan disebabkan tidak dapat bekerja. Jika kita rasa kita tidak dapat bersama keluarga disebabkan kita terpaksa bertugas, tetapi ketahuilah berapa ramai orang yang sudah hampir dua tahun duduk dirumah kerana PKP. Apabila kita rasa kita tertekan, ketahuilah rakyat diluar juga tertekan kerana terpaksa duduk dirumah sahaja.
Bersabarlah wahai doktor doktor muda, insya Allah nasibmu akan terbela pada
waktunya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Jika kita bantu orang lain, sudah pasti setiap titisan peluh kita akan memperolehi pahala sehingga ke syurga. Walaupun manusia mungkin tidak menghargaimu, tetapi percayalah Allah mengira setiap titisan zarah yang kita usahakan dalam menyelamatkan manusia.
Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud “Sebaik-baik manusia adalah yang paling
bermanfaat bagi manusia” (HR. Ahmad). Maka buatlah baik pasti Allah akan balas dengan kebaikan. Keep strong dan marilah kita bertahan dan melawan COVID 19 ini. Bukan waktu sekarang untuk kita bermogok. Insya Allah apabila waktu telah reda dan ekonomi negara sudah semakin baik. Kita perlu percaya rezeki tidak pernah salah alamat. Moga ada sinar untuk pegawai perubatan kontrak ini. Untuk waktu ini marilah kita bersama-sama menghadapi pandemik Covid-19ini. Kita mesti menang!!
Ms (Dr) Afizah Salleh
(Pakar Bedah Am)
Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)