Home Nasional Datuk Seri mengaku tak bersalah tipu Fizz Fairuz

Datuk Seri mengaku tak bersalah tipu Fizz Fairuz

Seorang lelaki berpangkat Datuk Seri diiringi anggota polis hadir bagi pertuduhan berkenaan kes menipu pelakon popular Fizz Fairuz atas penipuan projek kontrak pembersihan DBKL yang tidak wujud di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang individu berpangkat Datuk Seri didakwa menipu pelakon, Datuk Fizz Fairuz berhubung tender pembersihan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jun lepas mengaku tidak bersalah dan mahu dibicarakan.

Nilai projek itu dipercayai RM1.81 juta.

Pengakuan tersebut dibuat di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin oleh Khairul Khuzaini Zamsani yang juga seorang ahli perniagaan.

Mengikut kertas pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa menipu Fizz Fairuz atau nama sebenar Mohd Fairus Zainal Abdidin sehingga mempercayai tertuduh memiliki projek pembersihan tersebut.

Tertuduh dengan sengaja didapati telah mendorong Fizz Fairuz  memasukkan wang RM18,100 ke akaun Maybank milik tertuduh yang mana dia tidak akan bertindak sedemikian sekiranya tidak diperdaya.

Kesalahan tersebut didakwa telah dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Dutamas Raya Mont Kiara di sini pada 6 Jun lalu.

Khairul didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal ketika perbicaraan pagi ini telah mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Namun tertuduh mohon mendapat ikat jamin dengan kadar minimum memandangkan ada keluarga yang perlu ditanggung olehnya.

Majistret Tawfiq kemudian membenarkan  tertuduh diikat jamin sebanyak 8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 28 September bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, Fizz Fairuz mendakwa dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul pada 22 Julai lepas. -MalaysiaGazette