Home Seni Hidup Warga emas 101 tahun gembira lengkap 2 dos, harap negara kembali pulih...

Warga emas 101 tahun gembira lengkap 2 dos, harap negara kembali pulih dari Covid-19 segera

Seorang warga emas, Khoo Swee, 101 menerima suntikan vaksin dos kedua ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital KPJ Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2021.

KLANG – “Nak macam dulu, boleh keluar jalan-jalan,” itu antara yang sering dikatakan oleh warga emas berusia 101 tahun, Khoo Swee.

Sebab itulah warga emas tersebut teruja untuk keluar mendapatkan vaksin dos keduanya di Hospital Pakar (KPJ) Klang hari ini.

Riak wajah Khoo nampak gembira kerana sudah lengkap menerima vaksin Covid-19.

Beliau memberikan reaksinya ‘okay’ dan masih bertenaga walaupun selepas disuntik.

Reaksi seorang warga emas, Khoo Swee, 101 selepas menerima suntikan vaksin dos kedua ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital KPJ Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2021.

“Bagus, vaksin bagus, sakit sikit saja,” ujarnya ringkas.

Sementara itu, anak Khoo,  Lim Kim Hoo, 74 tahun, bersyukur ibunya tidak mengalami sebarang penyakit kronik lain.

“Ibu tidak ada sakit lain sihat, cuma jantung sahaja dimasukkan bateri,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Klang Nor Aidil Ikram Muhamad memaklumkan, walaupun umur Khoo mencecah 101 tahun namun tahap kesihatannya masih memuaskan.

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Klang, Nor Aidil Ikram Muhamad bercakap kepada media selepas selesai memantau seorang warga emas, Khoo Swee, 101 menerima suntikan vaksin dos kedua ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital KPJ Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2021.

Ujarnya, ketika proses pemantauan selepas menerima suntikan, tiada kesan sampingan terhadap warga emas berkenaan.

Sementara itu, katanya sehingga kini  seramai 2,597 warga emas yang menerima vaksin di KPJ Klang yang merupakan salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klang.

“Dos pertama  1,563 orang telah terima, manakala dos kedua seramai 1,034  orang telah terima,” katanya.

Ujarnya KPJ mampu menerima  sehingga 200 penerima vaksin setiap sehari.

Dalam masa yang sama katanya, hospital berkenaan akan meningkatkan jumlah penerima vaksin kepada 300 dalam masa yang terdekat.

“Untuk membantu meningkatkan proses pemberia  vaksin di Klang, KPJ Klang sedang dalam menunggu status, untuk tambah penerima vaksin sehari,” katanya kepada pemberita.-MalaysiaGazette