KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen pembangkang bertegang leher dengan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon sebelum sesi penggulungan Kementerian Kesihatan Malaysia pada sidang khas Parlimen pada hari ini.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching bingkas mempersoalkan tindakan Rashid yang tidak membenarkan tambahan masa untuk mereka mengajukan soalan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
“Datuk Speaker, kenapa kita tidak dapat tambahan masa, esok sudah ada menteri lain yang akan berikan penjelasan,” katanya.
Rashid berkata, sesi khas ini perlu tamat jam 5.30 petang dan hanya boleh dilanjutkan sehingga 5.45 petang sahaja.
“Di peringkat awal, kita telah berikan 55 minit kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkifley Ahmad dengan ruang yang panjang,” jelas Rashid.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, pada sesi biasa Dewan Rakyat boleh dilanjutkan sehingga jam 3 pagi untuk mengetengahkan masalah rakyat.
“Samada zaman pemerintahan BN ataupun PH, sidang Parlimen boleh diteruskan sehingga jam 3 pagi dalam keadaan tidak ada darurat, sekarang rakyat sedang melihat dan menginginkan kita mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi,” katanya.
Menjawab pertanyaan itu, Rashid berkata, ia adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh KKM
“Sebab ada daruratlah kita tidak boleh duduk lama-lama dalam Parlimen ini,” katanya.
Mendengarkan reaksi itu ramai Ahli-ahli Parlimen pembangkang bangkit dan mempersoalkan alasan Rashid.
“Kita minta kerajaan bawa usul untuk lebihkan masa,” desak Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
“Saya nak tanya Menteri Kesihatan sudi untuk duduk dalam Dewan Rakyat untuk jawab soalan atau menteri nak balik rumah selepas 5.30 petang,” kata Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris berkata, tidak salah untuk sidang khas ini melanjutkan masa bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen meminta penjelasan menteri.
“Apa salahnya kita beri masa kepada mereka berucap, kita membawa hasrat rakyat,” ujar beliau.
“Mohon lanjutkan masa Speaker, kita boleh lanjutkan sampai tengah malam. Kalau Speaker nak pergi makan durian, itu soal lain, kami nak duduk sini untuk ketengahkan masalah rakyat,” teriak Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.
Hannah (Ahli Parlimen Segambut) lalu bangkit dan berkata “Kita ada banyak isu SOP yang kita nak bangkitkan, saya tahu Speaker tidak kira pasal SOP tapi rakyat betul nak kita betulkan SOP,” katanya lagi.
“Saya tidak dapat usul untuk melanjutkan sidang lebih dari jam 5.30 petang, teruskan Menteri,” jawab Rashid.
Rashid tetap dengan pendiriannya dan mengarahkan Adham meneruskan penggulungan sesi sidang khas Parlimen, hari ini.
Seramai 18 Ahli Parlimen dibenarkan untuk meminta penjelasan daripada Adham pada sidang khas Parlimen, hari ini. – MalaysiaGazette
Dah lama tak tengok SAMPAH2 ni bersidang?
Seseekali tengok dah macam majlis monyet2 pula?