Home Politik Kerajaan perlu hormati institusi Raja Berperlembagaan

Kerajaan perlu hormati institusi Raja Berperlembagaan

Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Persidangan Khas Parlimen yang bermula semalam, mencatatkan sejarah tersendiri apabila rakyat dikejutkan dengan pernyataan Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

Namun, ada dakwaan sesetengah pihak menyatakan, pembatalan itu belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, sekiranya betul dakwaan itu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera menjawabnya.

Kata beliau, kerajaan terutama Menteri Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen tidak boleh memperlakukan YDPA sedemikian.

“Ini kerana, setiap butiran pembatalan Ordinan Darurat mesti dan perlu dipersembahkan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Baginda bukan “Rubber Stamp” yang akan menurut segala kemahuan kerajaan sekiranya ia melibatkan kepentingan rakyat.

“Pemuda UMNO Kelantan sependapat dengan Datuk Dr. Asyraf Wajdi bahawa ternyata darurat adalah dasar kerajaan yang gagal dan sia-sia.

“Kegagalan yang paling nyata sekali adalah kes semakin meningkat dalam tempoh darurat dilaksanakan sejak 11 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ternyata tindakan UMNO untuk tidak pernah bersetuju dengan darurat itu tepat sekali.

Menurut Noor Hariri, darurat yang dilaksanakan gagal dimanfaat untuk rakyat, malah telah menyebabkan ekonomi merudum dengan larinya pelabur asing dari negara.

“Kerajaan perlu memberi penjelasan secara terperinci dan tepat bagi memberikan kefahaman kepada semua rakyat mengenai pembatalan Ordinan Darurat ini.

“Sekiranya terbukti belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Pemuda UMNO Kelantan mendesak agar Menteri bertanggungjawab dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dan dikenakan hukuman tegas serta setimpal kerana mengelirukan dewan yang mulia ini,” katanya. – MalaysiaGazette