KUALA LUMPUR – Sebanyak 60 premis termasuk 12 kilang, 40 premis perniagaan dan lapan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelanggaran SOP itu dikesan selepas Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 80,431 pemeriksaan dan snap check Covid-19 yang melibatkan 19,081 anggota di seluruh negara.
“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,736 buah kilang, 15,572 premis perniagaan, 990 tapak pembinaan dan 344 buah asrama penempatan pekerja.
“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, 60 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Hishammuddin, pihak berkuasa mengenakan kompaun terhadap 438 individu dan 27 individu pula direman kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ia hasil daripada Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat semalam,” katanya.
Sementara itu, dalam Operasi Benteng (Op Benteng) semalam, pihak berkuasa telah menahan 14 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas empat kenderaan darat dalam operasi yang dilaksanakan di seluruh negara.
“Op Benteng melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 890 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette