Home Utama Polis tak akan biar wartawan bunuh diri, ceroboh MAEPS – Arjunaidi

Polis tak akan biar wartawan bunuh diri, ceroboh MAEPS – Arjunaidi

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.Foto AFFAN FAUZI, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengakui pihaknya ada merakam percakapan 12 petugas kesihatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRCB) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Isnin lalu.

Bagaimanapun Arjunaidi berkata, ia tiada kaitan dengan Gerakan Hartal Doktor Kontrak, sebaliknya mereka diambil keterangan bagi membantu siasatan isu pencerobohan fasiliti kesihatan itu membabit enam wartawan dari pelbagai agensi, pada hari sama.

“Tiada doktor di Selangor disiasat kerana menghadiri himpunan itu. Kita hanya merakam percakapan petugas kesihatan berhubung insiden pencerobohan PKRC MAEPS Serdang, Isnin lalu.

“Siasatan awal mendapati seramai enam wartawan didapati memasuki pusat kuarantin itu tanpa kebenaran dan kita bertindak selepas Pengarah PKRC MAEPS membuat laporan polis, jam 4 petang, semalam,” katanya pada sidang media secara sidang video, hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, kesemua 12 petugas kesihatan itu dirakam percakapan sepanjang waktu mereka bertugas secara bergilir-gilir antara 12 tengah malam hingga 3 pagi.

“Petugas kesihatan ini bertugas 8 malam sampai 3 pagi. Kalau kita rakam selepas dia bertugas sudah tentu dia letih. Kita ambil waktu bertugas secara bergilir dengan kebenaran pihak MAEPS,” katanya.

Arjunaidi juga berkata, pihaknya telah mengenal pasti wartawan terbabit dalam pencerobohan itu dan kesemua enam petugas media dari pelbagai agensi itu akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat.

“Kita akan panggil wartawan yang terlibat pencerobohan itu, kita juga sudah kenal pasti wartawan yang terlibat.

“Kita nak segerakan siasatan kita tak nak ada orang ambil kesempatan untuk memutarbelitkan isu ini,” katanya.

Arjunaidi juga enggan mendedahkan identiti enam wartawan yang memasuki secara serentak ke fasliti itu, sebaliknya mahu perkara itu disiasat secepat mungkin bagi mengenal pasti pihak ketiga terlibat membawa petugas media masuk ke kawasan berisiko tinggi itu.

“Kita diberitahu pada hari itu, seramai enam wartawan telah masuk ke MAEPS yang dikhaskan kuarantin penyakit berjangkit dan ia tidak boleh dimasuki oleh sesiapa tanpa kebenaran sejak ia diwartakan sebagai PKRC pada 6 Disember 2020.

“Di situ ada tiga zon, ada zon hijau, kuning dan merah, ia jadi tempat larangan bukan boleh dimasuki sembarangan. Mengikut laporan pengarah MAEPS, wartawan ini masuk di zon kuning, iaitu kawasan kuarantin tahap tiga dan empat,” katanya.

Katanya lagi, tindakan itu bukan untuk menyekat kebebasan media, sebaliknya pihak polis mahu memastikan keselamatan dan kesihatan kesemua enam wartawan bagi mengelakkan mereka dijangkiti dan menularkan wabak Covid-19.

“Mereka bukan sahaja menceroboh masuk ke kawasan larangan, bahkan mereka juga membahayakan diri sendiri dan boleh membawa penyakit ke luar, apatah lagi mereka hanya memakai pelitup muka sahaja, bukan PPE.

“Bukan kita nak halang kebebasan bersuara, tapi jadi kesalahan masuk ke kawasan tidak patut dimasuki.

“Kita tak pernah sekat kebebasan media, tapi kita tak akan biar media bunuh diri ke situ. Jadi tanggungjawab kita jaga keselamatan rakyat,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bilangan wartawan-wartawan masa kini (juga segelintir wartawan veteran!!!) yang TIDAK BERETIKA semakin meningkat. Mereka menjadi the “lapdog” PARTI-PARTI POLITIK atau SETENGAH-SETENGAH PEMIMPIN POLITIK… Segelintir mereka membuat laporan dengan perspektif yang BERAT SEBELAH. Apa telah terjadi kepada “INTEGRITI KEWARTAWANAN” di negera ini?

Comments are closed.