Home Nasional MUIP belanja RM24.9 juta bantu lebih 58,000 penerima

MUIP belanja RM24.9 juta bantu lebih 58,000 penerima

Kebawah Duli yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, yang merupakan Yang Di Pertua MUIP mencemar duli menyantuni rakyat menyampai bekalan keperluan asas kepada penerima bantuan yang terkesan akibat pandemik Covid-19

KUANTAN – Majlis Ugama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah membelanjakan hampir RM24.9 juta bagi membantu umat Islam di negeri ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sepanjang pertengahan tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Tengku Amer Nasser Ibrahim Shah  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata, jumlah tersebut diagihkan menerusi wang tunai melalui E-Asnaf dan juga berbentuk barangan keperluan asas.

Sejak bulan Januari sehingga Jun tahun 2021, MUIP telah mengagihkan sebanyak RM24,869,500 bagi membantu umat Islam yang terkesan akibat Covid 19 ini.

”Agihan sebanyak RM22,191,300 telah dilakukan secara tunai melalui E-Asnaf ke dalam akaun 57,866 penerima dan selebihnya juga diagihkan dalam bentuk barangan keperluan asas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelas Tengku Amir Nasser, bayaran zakat mampu menstabilkan ekonomi umat Islam dan sangat membantu umat Islam yang dalam kesempitan sepanjang pandemik ini.

Agihan oleh MUIP telah dilakukan secara tunai melalui E-Asnaf ke dalam akaun 57,866 penerima dan diagihkan dalam bentuk barangan keperluan asas.

Artikel berkaitan: MUIP agih dana pendidikan RM1.2 juta

MUIP agih RM10 juta kepada masjid, asnaf

Pada tahun 2020, pihak MUIP telah mengagihkan bantuan Covid-19 sebanyak RM15,181,905.40 kepada umat Islam yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ia membabitkan seramai 49,205 penerima telah menerima bantuan tunai melalui E-Asnaf yang berjumlah RM9,841,000 dan selebihnya diagihkan dalam bentuk barangan keperluan asas.

Menurut Tengku Ameer, sejak awal tahun 2021 sehingga hari ini secara keseluruhannya agihan khas zakat kepada lapan asnaf di Pahang adalah sebanyak RM91,087,558.08.

Dalam pada itu, Pemangku Raja Pahang, yang merupakan Yang Dipertua MUIP juga mengalakkan semua umat Islam di Pahang menginfak sebahagian harta dan pendapatan mereka untuk membantu golongan yang memerlukan ketika pandemik ini.

“Seperti semua maklum bahawa berinfak ke jalan Allah SWT tidak sekali-kali menyebabkan harta akan berkurangan, namun ia dapat memperkayakan hati, membersihkan harta yang dimiliki, serta dapat memberkati usia dan juga rezeki” kata beliau. -MalaysiaGazette