Home Nasional Tenaga pengajar didakwa palsu dokumen pusat pengajian agama

Tenaga pengajar didakwa palsu dokumen pusat pengajian agama

Mohd Idrus Ahmad@Ab Kadir, 46, yang didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Star telah meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

ALOR STAR – Seorang tenaga pengajar pusat pengajian agama mengaku tidak bersalah hari ini atas tuduhan menggunakan dokumen palsu dalam urusan rasmi membabitkan pusat pengajian terbabit pada 2015.

Tertuduh, Mohd Idrus Ahmad@Ab Kadir, 46, yang didakwa di mahkamah sesyen di sini telah meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang menggunakan dokumen iaitu ‘Cabutan Minit Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pengurusan Maahad Tahfiz Intan Sungai Petani Kali Ke-8’ yang palsu dalam urusan rasmi.

Mohd Idrus didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Peguam Tetuan Badrul, Samad, Faik & Co pada 15 September 2015.

Saiful dalam rayuannya memohon jaminan lebih ringan dikenakan berikutan anak guamnya hadir sendiri ke mahkamah, selain dia menetap di negeri ini.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 dan seorang penjamin dikenakan ke atas tertuduh dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Ogos depan.

Sementara itu, tertuduh membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar berserta seorang penjamin. – MalaysiaGazette