BANGKOK – Gudang kargo Lapangan Terbang Don Muang Bangkok diubah menjadi sebuah hospital lapangan dengan 1,800 katil untuk pesakit Covid-19 dengan gejala ringan.
Persiapan itu dilakukan berikutan peningkatan kes wabak Covid-19 di negara ini.
Thailand merekodkan kes jangkitan harian baharu sebanyak 16,533 dengan 133 kes kematian, menjadikan jumlah kes terkumpul menjadi 543,361 dan 4,397 kematian.
“Ini adalah hospital yang dapat menerima sebilangan besar pesakit, yang mempunyai gejala yang kurang teruk.
“Tetapi jika keadaan pesakit bertambah buruk, mereka akan dipindahkan ke hospital lapangan yang lain yang disebut Pitak Rachan (Protect the King) Field Hospital,” kata Rienthong Nanna, Pengarah Hospital Mongkutwattana.
Lonjakan kes Covid-19 di ibu kota Thailand itu telah memberi tekanan kepada sistem kesihatannya dan pemerintah menghadapi kritikan masyarakat terhadap pemberian vaksin yang perlahan.
Thailand mensasar untuk memberi vaksin kepada 50 juta orang pada akhir tahun ini, tetapi setakat ini hanya 5.6 peratus daripada lebih dari 66 juta penduduknya telah diberi vaksin sepenuhnya, sementara 19.2 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. – MalaysiaGazette