Home Nasional Kenyataan Istana Negara cetus kekecohan sidang khas Dewan Rakyat

Kenyataan Istana Negara cetus kekecohan sidang khas Dewan Rakyat

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 20 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Sidang khas Parlimen yang memasuki hari keempat hari ini dihentikan selama 15 minit selepas kerajaan menerima perkembangan terkini tentang pembatalan tujuh Ordinan Darurat.m

Menurut Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, sidang dewan dihentikan seketika bagi pihaknya membincangkan secara teliti mengenai kenyataan dua muka surat Istana Negara, hari ini.

“Saya merujuk kepada 12 (2) untuk menangguhkan mesyuarat ini selama 15 minit untuk saya buat perbincangan,” kata Rashid sebelum meninggalkan mesyuarat Khas Parlimen, hari ini.

Ketika itu, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sedang membuat penjelasan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam sidang khas itu.

Ia bermula apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bingkas bangun mempersoalkan Rashid tentang kenyataan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong hari ini.

“Speaker jangan dolak dalik, kenyataan ini yang dikeluarkan oleh Pejabat Istana Negara boleh tengok di Facebook. Bukan kenyataan media biasa, jangan permainkan soal titah Diraja,” katanya.

Ketika ini, Ahli-ahli Parlimen pembangkang mula mempersoalkan keberadaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang tidak berada dalam Dewan Rakyat.

Beberapa Ahli Parlimen kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut bangun untuk Rashid menangguhkan persidangan khas Parlimen, hari ini.

Antaranya Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

“Kita tangguhkan sidang Dewan Rakyat sebab isu ini isu yang serius mengenai Perlembagaan Persekutuan,” kata Bung Mokhtar.

“Speaker tangguhkan dewan sehingga 2.30 petang. Boleh tangguh,” desak Noh Omar.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub mempersoalkan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berdiam diri mengenai kenyataan dukacita Istana Negara.

“(Ahli Parlimen) Bera, cakap sesuatulah, sebagai Timbalan Perdana Menteri,,” kata Salahuddin.

Lima belas minit kemudian Rashid masuk semula ke Dewan Rakyat dan berkata sesi Khas Parlimen hari ini dihentikan dan akan bersambung semula jam 2.30 petang nanti.

“Tempohkan sehingga jam 1 dan disambung semula jam 2.30 petang,” katanya dan berlalu pergi.

Istana Negara hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja menzahirkan rasa amat dukacita berhubung pembatalan Ordinan Darurat kerana belum mendapat perkenan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menegaskan, baginda turut menzahirkan perasan sama kerana apa yang telah diperkenan dan dititah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan. – MalaysiaGazette

Agong amat dukacita kenyataan Takiyuddin tidak tepat dan mengelirukan