KUALA LUMPUR – Walaupun pada awalnya syarikat hartanah terkenal JL99 merancang menyediakan 1,000 bakul makanan bernilai RM300,000 sahaja namun ia meningkat kerana menerima permintaan yang banyak.
Ketika ini, sudah lebih 1,500 bakul makanan dengan setiap daripadanya dianggarkan bernilai RM200 selain pemberian wang tunai RM100 setiap satu keluarga.
Malah ada ketikanya lebih daripada RM100 wang tunai dihulurkan kepada keluarga yang keadaanya cukup memerlukan bantuan ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi pandemik Covid-19.
Menurut pengasas dan Pengerusi Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff Lee, pihaknya mengambil masa kira-kira kurang dari sebulan untuk mengenalpasti serta mengedarkan bakul makanan kepada penduduk setempat.
Pada awalnya, hanya menggunakan konsep pandu lalu, JL99 telah memperuntukkan bekalan asas bagi setiap penduduk tinggal berhampiran radius tiga kilometer dari dari Galeri Jualan Residensi 99 di Taman Wahyu, Kepong.
Namun ‘Bakul Makanan JL99’ menjadi begitu popular sehingga banyak permintaan dari orang perseorangan sehingga wakil penduduk, pertubuhan bukan kerajaan dan juga wakil-wakil rakyat.
“Seperti hari ini, saya telah didekati wakil penduduk Taman Sri Endah, Seputeh bagi membantu sekurang-kurangnya 50 buah keluarga. Sebenarnya JL99 hanya merancang untuk menyumbang kepada 1,000 orang.
“Barangan untuk bakul makanan itu juga telah kita habis namun permintaan masih lagi banyak, seperti hari ini apabila saya datang ke lokasi ini, walaupun dari luaran pangsapuri ini nampak normal tetapi jika anda masuk ke dalam rumah mereka, cuba bercakap dengan mereka, anda akan menangis.
“Keadaan mereka sungguh daif sekali, ada daripada mereka makan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, ikat perut dan sebagainya. Rata-rata daripada mereka ini sudah hilang punca pendapatan, ada dalam kalangan keluarga yang gajinya sudah berkurangan serta isu-isu lain.
“Pada awalnya, saya datang untuk melawat dan meyumbang 50 bakul makanan tetapi kini saya akan menyumbang lagi 50 bakul makanan kerana ramai lagi di kawasan ini dalam keadaan terdesak
“Bagi kami ini adalah sebahagian daripada program CSR kami tetapi akhirnya ini juga telah memberi peluang kepada saya dan pasukan saya untuk mendekati masyarakat dengan lebih dekat,” katanya sebentar tadi.
Ikrar Jeff Lee lagi, pihaknya masih ingin membantu tidak kira agama atau latarbelakang selagi mampu memandangkan ada juga permintaan tidak henti ketika ini.
“Saya tidak boleh berikan anda apakah angka, memang saya hendak berhenti tetapi pada masa sama saya tidak dapat berikan apa-apa jangkaan lagi. Siapa yang perlu selagi kami mampu kami tolong.
“Sebenarnya pandemik ini benar-benar menguji, ramai yang memerlukan. Sesiapa yang mampu, tampil bantu ringankan bebanan mereka. Covid-19 ini benar dan kesannya sungguh mendalam,” ujarnya. -MalaysiaGazette