SEPANG – Program Perumahan Rakyat (PPR) merupakan manifestasi usaha kerajaan dalam membantu semua golongan masyarakat secara inklusif.
“Ini menandakan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memperjuangkan untung nasib semua komuniti.
“Semoga PPR ini meninggalkan kesan yang mendalam terutama kepada 400 keluarga yang akan pindah ke projek ini selepas ia siap pada Julai 2019,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang di Dengkil dekat sini petang ini.
Menurut Najib, PPR yang akan dibangunkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu melibatkan kos pembangunan sebanyak RM60 juta bagi pembinaan 400 unit rumah teres satu tingkat termasuk kemudahan balai komuniti dan tapak rumah ibadat bukan Islam.
Harga jualan satu unit PPR itu adalah RM20,000 menjadikan jumlah subsidi kerajaan bagi setiap unit adalah sebanyak RM130,000.
PPR Ampar Tenang dibina khusus untuk bekas-bekas pekerja Ladang Perang Besar, Medingly, Gollaway dan Sedgely yang tinggal di Rumah Kos Rendah Taman Permata di Dengkil.
Unit-unit rumah di bawah program PPR ditawarkan secara sewaan atau dijual dengan kadar sewaan dan harga jualan yang mampu ditanggung oleh penyewa dan pembeli unit-unit rumah. – MalaysiaGazette
Comments are closed.