KUALA LUMPUR – Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia hari ini menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDP), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Ketuanya, Mustapa Mansor berkata, memorandum diserahkan berikutan pembatalan ordinan darurat seperti mana diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Isnin lalu di Parlimen tanpa mendapat perkenan YDPA.
“Bagi kami tindakan begini adalah satu bentuk penderhakaan kepada baginda YDPA dan bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan atas kederhakaan ini kami mencadangkan beberapa perkara untuk pertimbangan Tuanku agar menjadi pelajaran dan pengajaran untuk rakyat di masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Pintu 3, Istana Negara hari ini.
Tambah beliau, tindakan tegas perlu diambil kepada barisan Kabinet Perikatan Nasional yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam perbuatan derhaka itu.
Jelasnya, mereka yang terlibat juga perlu meletakkan jawatan, termasuk Perdana Menteri, dan pelantikan baharu melalui sokongan majoriti di Parlimen dilakukan.
“Sebarang bentuk manipulasi politik tidak bermoral dalam pelantikan perdana menteri harus dipastikan tidak berlaku lagi seperti yang terjadi beberapa kali sebelum ini,” ujarnya.
Menurut Mustapa, Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen mampu membawa negara keluar daripada kemelut politik, ekonomi, sosial serta kesihatan dalam masa lebih pantas.
Mustapa menyatakan harapan tinggi terharap baginda agar ketegasan Tuanku memberi pengajaran kepada semua ahli Parlimen supaya memenuhi sumpah jawatan selaku ahli Parlimen dan menumpahkan taat setia kepada YDPA.
“YDPA juga simbol melindungi, memlihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa dan komitmen NGO kepada Tuanku seiiring dengan dasar dan matlamat gabungan NGO untuk sentiasa memelihara, menjunjung dan membela institusi Raja-Raja Melayu bersesuaia denga prinsip Raja Berperlembagaan yang telah didudukung dan termaktub selama ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette