KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak semua ahli Parlimen UMNO untuk menarik balik segera sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri susulan tindakannya yang membatalkan Ordinan Darurat menimbulkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Penolong Setiausahanya, Hasmuni Hassan berkata, sudah sampai masanya wakil rakyat UMNO dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertindak meletakkan jawatan sama ada sebagai menteri, timbalan menteri mahupun pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan serta-merta
“Jangan lagi berkompromi serta bersekongkol dengan kerajaan yang telah jelas derhaka terhadap Seri Paduka Baginda YDPA.
“Ingatlah, UMNO ini adalah parti bermaruah dan tradisinya adalah membela agama, bangsa dan negara. Percayalah, jika kita masih kekal dalam Kerajaan PN, bermakna kita bersetuju memalitkan diri dengan sembah derhaka ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada Isnin bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.
Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.
Malah, tindakan tersebut membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Perlembagaan.
Hasmuni berkata, tindakan wakil rakyat UMNO yang terus berlenggah dan kekal bersama Kerajaan PN hanya akan memalitkan imej parti Melayu itu dengan penderhakaan terhadap Seri Paduka Baginda.
“Jangan sampai tindakan anda hari ini menjadi sebahagian daripada sejarah dengan rela membelakang asas perjuangan parti, bersekongkol dan bersetuju dengan kerajaan yang menyembah derhaka kepada Rajanya.
“UMNO ini adalah parti bermaruah dan perjuangannya juga dititip dengan darah dan maruah. Maka perjuangan UMNO adalah suci dan tulus. Dakaplah semangatnya, junjunglah asas perjuangannya dan hindarlah dari dibelungi habuan, pangkat dan kuasa,” katanya.
Katanya lagi, sudah tiba masanya ahli-ahli Parlimen UMNO untuk membuktikan kesetiaan kepada parti dengan akur keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan daripada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Malah, Fasal 3 (3.2) dengan jelas menyatakan bahawa tujuan dan fungsi UMNO antara lain ialah mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Raja Berperlembagaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette