TOKYO – Jepun memperluaskan pengisytiharan darurat di Tokyo ke wilayah baharu susulan lonjakan kes Covid-19.
Sekatan tersebut dikenakan di kawasan sekitar ibu kota dan juga di bandar Osaka.
Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga memberi amaran jangkitan merebak pada kadar yang belum pernah terjadi sebelumnya, mendesak negara itu untuk menyaksikan Sukan Olimpik dari kediaman masing-masing.
Peningkatan kes itu didorong oleh varian Delta yang lebih menular.
“Sekiranya peningkatan jangkitan tidak berhenti, kes-kes gejala yang teruk akan meningkat dan sistem perubatan mungkin terus mengalami tekanan,” kata Suga.
Sebelumnya, Menteri Kesihatan Norihisa Tamura memberi ingatan bahawa negara itu telah memasuki tahap baharu yang “sangat menakutkan”.
”Saya fikir orang ramai sudah tidak dapat melihat ke depan dan bimbang berapa lama keadaan ini akan bertahan, mereka merasa tidak tertanggung kerana tidak dapat kembali kepada kehidupan normal,” katanya.
Jepun berjaya mencapai kejayaan dalam memerangi Covid-19, mempertahankan peningkatan kes dan kematian rendah selama berbulan-bulan.
Bagaimanapun kes sekarang meningkat dengan ketara.
Kes harian di seluruh negara meningkat 10,000 untuk pertama kalinya pada hari Khamis, lebih daripada satu pertiga di ibu negara.
Tokyo – di mana Olimpik sedang berlangsung – telah menyaksikan tiga hari berturut-turut lonjakan kes, walaupun sudah berada dalam keadaan darurat.
Hospital juga berada di bawah tekanan.
Penganjur Olimpik melaporkan 27 jangkitan baharu pada temasya itu pada hari Jumaat, menjadikan jumlahnya sejak awal bulan Julai menjadi lebih dari 200.
Tetapi dengan peraturan yang ketat, termasuk larangan penonton, penganjur menafikan acara sukan itu mencetus peningkatan kes. – MalaysiaGazette