Home Nasional Negara berhadapan dengan ancaman maklumat – Musa

Negara berhadapan dengan ancaman maklumat – Musa

Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan

SEREMBAN – Negara kini berhadapan dengan ancaman maklumat yang tidak betul, yang boleh menggugat keselamatan dan keamanan negara, kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata masyarakat, terutama golongan muda, perlu menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai dan menyebarkannya.

“Maklumat yang tidak betul jika disebarkan kepada umum hanya akan mengelirukan orang awam.

“Mereka yang melakukan ini hanyalah bertujuan untuk mencari pengaruh supaya orang membenci sesuatu pihak, yang akhirnya boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara,” katanya kepada pemberita selepas sesi Dialog Isu Semasa #Negara bersama warga Institut Perguruan Kampus Raja Melewar, di sini hari ini.

Beliau berkata jika ancaman maklumat ini tidak ditangani, dikhuatiri pihak yang terpengaruh, boleh melakukan sesuatu yang huru-hara.

Musa berkata pemimpin dan golongan dewasa perlu memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat yang betul kepada generasi muda.

— BERNAMA