KUALA LUMPUR – Polis akan menyiasat sebuah syarikat yang melanggar standard operasi prosedur (SOP) dengan menganjurkan pemberian durian percuma di bawah jejambat Jalan Temenggong, Parit Buntar, PerakĀ hari ini.
Sehubungan itu, Polis Perak telah membuka kertas siasatan terhadap sebuah syarikat tersebut kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, Balai Polis Parit Buntar menerima maklumat awam berhubung kejadian itu dan segera ke lokasi serta mengarahkan penganjur menghentikan program itu serta-merta.
“Anggota polis yang pergi ke lokasi mendapati orang ramai sedang beratur panjang tanpa penjarakan sosial untuk mendapatkan buah durian percuma itu.
“Polis kemudian mengarahkan penganjur menghentikan program itu serta-merta. Ekoran itu, satu laporan polis dibuat dan kertas siasatan dibuka ke atas penganjur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kes berkenaan menurut Mazuki akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette