Home Nasional Kertas siasatan ‘helikopter bawa nasi ganja’ diserah kepada bahagian pendakwaan

Kertas siasatan ‘helikopter bawa nasi ganja’ diserah kepada bahagian pendakwaan

Gambar tular menunjukkan sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil tempahan nasi ganja.

IPOH – Kertas siasatan berhubung kejadian sebuah helikopter yang dikesan mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja pada 23 Julai lepas, telah dihantar ke bahagian pendakwaan, kata Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata, kertas siasatan yang telah lengkap itu diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak pada Jumaat (30 Julai) untuk tindakan lanjut.

“Saya difahamkan kertas siasatan tersebut juga akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut. Buat masa ini kita tunggu keputusan mereka (untuk pendakwaan),” katanya ketika ditemui media pada program Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2021 di Pusat Pemberian Vaksin Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini tiada pihak lain akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut, selain lima individu termasuk seorang yang bergelar Datuk.

Katanya, siasatan dijalankan hasil rakaman percakapan lima individu termasuk pengadu iaitu kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh, pengusaha restoran nasi ganja dan tiga individu yang lain.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata lelaki berpangkat Datuk berumur 52 tahun itu adalah antara tiga individu selain juruterbang, berusia 46 tahun, dan lelaki membuat pesanan berusia 62 tahun yang dirakam percakapan oleh pegawainya di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor, pada 27 Julai lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihak polis juga akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan terhadap sebuah syarikat yang menganjurkan pemberian buah durian secara percuma di bawah jejambat Jalan Temenggong, Parit Buntar, Jumaat lepas.

Katanya, program berkenaan tidak wajar dianjurkan lebih-lebih lagi ketika penularan wabak COVID-19 masih berada pada tahap yang membimbangkan.

“Sepertimana yang dimaklumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam, kita mencadangkan kalau hendak memberi durian percuma pun hantar dari rumah ke rumah, janganlah serbu macam itu kerana tiada penjarakan fizikal,” katanya.

Pada Jumaat, tular dalam media sosial gambar dan video orang ramai yang berpusu-pusu beratur tanpa mematuhi penjarakan fizikal ketika mahu mendapatkan buah durian yang diedarkan secara percuma itu. – Bernama