Home Nasional Giliran Hospital Sg Buloh terima kontena simpan mayat pesakit Covid-19

Giliran Hospital Sg Buloh terima kontena simpan mayat pesakit Covid-19

Maritime Network Sdn Bhd menyampaikan sumbangan kontena penyimpanan jenazah mangsa Covid-19 kepada Hospital Sungai Buloh.

KUALA LUMPUR – Syarikat perkapalan, Maritime Network Sdn Bhd menyumbang satu lagi kontena untuk digunakan sebagai tempat penyimpanan mayat mangsa Covid-19 kepada Hospital Sungai Buloh hari ini.

Ini merupakan kontena ketiga yang disumbangkan oleh Maritime Network yang diasaskan oleh Datuk Seri R Jeyendran dalam tempoh tidak kurang 10 hari.

Jeyendran berkata, syarikatnya akan menyumbang dua lagi kontena pada minggu hadapan untuk kegunaan hospital di Kedah dan penyerahannya dalam peringkat akhir.

Ujarnya, sabuah kontena bersaiz 3.71 meter persegi (40 kaki) yang mampu memuatkan hingga 30 jenazah itu disumbangkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

“Memang kita sudah merancang, dua hari lepas kita telah sumbang kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), hari ini kepada Hospital Sungai Buloh,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah beliau, keperluan kontena untuk menyimpan mayat sememangnya diperlukan horpital di Lembah Klang berikutan peningkat kes kematian Covid-19 yang meningkat setiap hari ini.

Maritime Network Sdn Bhd menyampaikan sumbangan kontena penyimpanan jenazah mangsa Covid-19 kepada Hospital Sungai Buloh.

Tambah Jeyendran lagi, harga kontena yang dilengkapi dengan sistem sejukbeku yang hampir RM40,000 itu boleh terus digunakan, sekali gus memudahkan pengurusan hospital dalam mengendalikan mayat.

“Saya sendiri telah tinjau ruang pusat simpanan mayat pesakit Covid-19 di beberapa hospital yang semakin berkurangan.

Pengasas Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyandran.

“Selepas melihat sendiri ruang penyimpanan mayat semakin terhad, saya terus membuat keputusan untuk mendapatkan satu kontena sejuk beku dan menghantarnya ke bahagian kecemasan.

“Tetapi usaha itu kemudian mendapat perhatian hospital lain dan saya terus mendapat panggilan dari pihak berwajib memohon bantuan berkenaan. Malah hati saya tergerak untuk membantu apabila melihatnya dengan mata kepala saya sendiri,” ujarnya. -MalaysiaGazette