KUALA LUMPUR – Rangkaian produk penyelidikan berinovasi tinggi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya merangkul 14 pingat Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx 2021) yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.
Kesemua 14 pingat dimenangi adalah lima pingat emas, tujuh pingat perak dan dua pingat gangsa.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan tersebut akan menggalakkan lagi penyelidikan dan inovasi berimpak untuk kemaslahatan komuniti sejagat.
“Selari itu kian jelas keberadaan dan sumbangan UTeM memberikan sumbangan langsung kepada masyarakat serta komuniti dunia selaras dengan aspirasi nasional yang dihasratkan kepada universiti tempatan,” ujar beliau menerusi kenyataan semalam.
Pingat emas telah diungguli menerusi produk inovasi V4Fisio diketuai Profesor Madya Dr Mariam Md Ghazaly dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan Smart Smoke Level Detection for Rubber Strain Gauge With Ambient Monitoring diketuai Ts Dr Adam Wong Yoon Khang dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).
Sanitizer Wheelchair Excellent Device (SWED) 2020 diketuai Ruzy Haryati Hambali dari Fakulti Kejurteraan Pembuatan (FKP) dan Environmentally Friendly Inhibitor-Zingiber Officinale Extraction diketuai Dr Mohd Fauzi Mamat dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).
Manakala Intelligent Oil Palm Fruits Segregator diketuai Ts Dr Faiz Arith dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK).
Tujuh pingat perak pula telah dimenangi menerusi produk inovasi Incorporating Cuscn and Cui As Hole Transporting Layer for Solar Cell Applications, Foot Operated Door Knob dan IOT Based Indoor Air Quality Monitoring System.
Multi-language Smart Book Reader for Visual Impairment Person, AMI3L-Aplikasi Membaca Interaktif: Lihat, Latih dan Lancar, Automatic Compose Bin dan Ergonomic Specimen Grinder and Polisher.
Sementara itu, dua pingat gangsa yang telah dimenangi UTeM pula adalah menerusi produk 3D Printed Denture dan E-Repository.
Untuk rekod, iCompEX 2021 berlangsung pada 14 Mei hingga 27 Julai 2021.
Ia merupakan medan ukuran pengiktirafan rangkaian produk inovasi bertaraf dunia yang dihasilkan oleh barisan penyelidik dari seluruh Institusi Pengajian Tinggi dalam negara.
iCompEX 2021 yang dijalankan secara dalam talian itu merupakan anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.-MalaysiaGazette