SEPANG – Sebanyak 20 lagi kaunter baharu bagi Pelan Rekalibrasi Pulang Pendatang Tanpa Izin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditambah bagi bagi mempercepatkan proses urusan pulang pendatang tanpa izin (PATI).
Ia ditambah bagi menangani rungutan dan maklum balas pelbagai pihak termasuk isu terlepas penerbangan baru-baru ini, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Ia dilakukan dengan kerjasama Malaysia Airport Berhad (MAHB).
Menurut Khairul Dzaimee, kaunter baharu yang terletak di Parkir Jangka Pendek, Aras 2 Blok B, KLIA ini mempunyai ruang menunggu yang lebih luas dengan kapasiti 800 hingga 1,000 orang dan telah mula beroperasi sejak 31 Julai.
“Kaunter baru ini telah mula beroperasi mulai Sabtu lalu (31 Julai 2021) dan sejak daripada tarikh itu, Jabatan Imigresen Malaysia tidak lagi menerima laporan mengenai mereka yang terlepas penerbangan atau terpaksa menangguhkan tempoh berlepas.
“MAHB telah menyediakan kemudahan lain seperti kipas industri bagi memberikan ventilasi yang lebih baik, kiosk menjual makanan dan perkhidmatan fotostat, serta penjarakan sosial juga dapat dilaksanakan melalui susunan kerusi yang lebih teratur,” katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan di KLIA hari ini.
Tambah Khairul Dzaimee, kaunter baharu itu beroperasi 24 jam melibatkan seramai 140 orang dan semua warga asing yang telah mendaftar diwajibkan hadir ke KLIA sehari lebih awal dari waktu penerbangan mereka bagi memudahkan urusan di kaunter.
Sehingga 31 Julai lalu, seramai 8,856 warga asing telah berjaya dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi program ini yang telah dilancarkan di kaunter KLIA pada 5 Julai lepas.
Pelan Rekalibrasi Pulang Pendatang Tanpa Izin (PATI) bertujuan membolehkan mereka berurusan untuk pulang ke negara asal dengan segera tanpa melalui Sistem Temujanji Online (STO) untuk berususan di pejabat Imigresen.
Syarat untuk menyertai program berkenaan, mereka perlu memiliki dokumen yang sah dan diluluskan kedutaan masing-masing, memiliki tiket pulang ke negara asal serta perlu membayar kompaun RM500 menerusi pembayaran secara elektronik sahaja.
Menurut Khairul Dzaimee, selain daripada Kaunter Khas di KLIA, JIM turut membuka kaunter khas di Stulang Laut, Johor yang telah mula beroperasi semalam (1 Ogos) dan seramai 109 PATI telah dihantar pulang melaluinya.
“Perancangan seterusnya, JIM akan membuka lapan kaunter yang sama di KLIA 2 pada 4 Ogo malah turut mewujudkan kaunter khas sama di Pasir Gudang, Johor dan Pelabuhan Klang, Selangor yang dijangkan mula beroperasi pada 15 Ogos ini.
“Dengan adanya kaunter -kaunter di pintu masuk ini mereka boleh terus datang dengan dokumen yang telah ditetapkan tanpa perlu membuat temujanji terlebih dahulu,” ujarnya.
Bagi statistik keseluruhan, seramai 107,524 PATI telah berdaftar bagi Program Rekalibrasi Pulang dengan 88,034 individu telah dihantar pulang ke negara asal dan jumlah kompaun yang telah dikutip melebihi RM52 juta.
Tambahnya, tiga negara yang mencatatkan pendaftaran paling tinggi adalah wargenegara Indonesia dengan jumlah seramai 56,154 orang, diikuti warganegara India (16,165), Bangladesh (11,110) dan sleebihnya adalah dari pelbagai negara.
Sementara itu, berhubung analisis JIM terhadap PATI, rata-rata mereka yang tinggal lebih masa dalam negara di antara tiga hingga lima tahun yang hidup selesa merupakan pekerja asing tanpa dokumen.
“Mereka yang hidupnya selesa ini membawa pulang barangan elektrik, barangan keperluan rumah dengan membawa dua hingga tiga bagasi setiap seorang dan mereka bekerja dalam sektor pembinaan, perkhidmatan dan perladangan,” katanya.
Khairul Dzaimee berkata, tindakan mereka menetap di negara ini tanpa dokumen telah menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil levi dianggarkan bernilai RM150 juta setiap tahun.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua majikan yang menggaji PATI agar mengambil peluang menyertai program ini sebelum kerajaan mengambil tindakan tegas.
Pada 23 Jun lalu, Mensyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju melanjutkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin bagi menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hingga hujung tahun ini atau sehingga PICK tamat. – MalaysiaGazette