Home Seni Hidup Ibu Amy Search meninggal dunia

Ibu Amy Search meninggal dunia

Foto Instagram Amy Search.

KUALA LUMPUR – Penyanyi rock legenda, Amy Search berkongsi khabar duka atas pemergian ibunya, Allahyarham Fatimah Idris yang menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua, petang semalam.

Memaklumkan berita sedih itu menerusi hantaran dalam Instagram (IG) dan Facebook (FB), Amy, 53, memohon peminat untuk mendoakan arwah ibunya.

Amy berkata, arwah meninggal dunia di rumah anak saudara di Kota Damansara pada usia 91 tahun.

“Mohon sedekahkan al-Fatihah untuk arwah ibu saya. Hilang dan perginya kekuatan saya, selama ini.

“Kali terakhir bertemu arwah pada Ramadan lalu. Memang ralat tidak dapat bersamanya pada saat akhir.

“Saya mendapat tahu pemergian arwah jam 10.45 malam selepas disahkan oleh penolong kanan daripada Hospital Sungai Buloh,” tulisnya.

Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman memberitahu, jenazah dimandikan di Masjid Kuning Kota Damansara dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara, pagi ini.

Sementara itu, pelakon dan pengacara, Nabila Huda yang juga anak kepada Amy turut berkongsi berita sedih atas kehilangan arwah neneknya.

“Abil baru sahaja kehilangan seorang lagi nenek. Fatimah Idris. Al-Fatihah,” tulisnya dalam hantaran di IG.

Sebelum ini, arwah pernah tinggal bersama Amy, namun turut dijaga secara bergilir oleh kakak sulung Amy.

Allahyarham Fatimah meninggalkan tiga cahaya mata, 12 cucu dan dua cicit. – MalaysiaGazette