Home Nasional Polis cari pemandu lori simen babit kes kematian warga emas

Polis cari pemandu lori simen babit kes kematian warga emas

Rakaman CCTV menunjukkan lori simen tersebut berada dibelakang motosikal mangsa sebelum dia dilaporkan terjatuh dalam kejadian di Jalan Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Selepas enam hari bertarung nyawa, seorang warga emas yang terlibat dalam kemalangan membabitkan lori simen di Jalan Tasek Gelugor akhirnya meninggal dunia semalam.

Mangsa, Zakaria Othman,74, dilaporkan meninggal dunia jam 8 malam ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari Tasek Gelugor menghala ke Pekan Darat.

“Bagaimanapun, dalam perjalanan itu motosikal mangsa dipercayai dilanggar sebuah lori dari arah belakang namun pemandu itu tidak memberhentikan kenderaannya.

Keadaan motosikal ditunggangi mangsa akibat dilanggar dari arah belakang.

“Akibat pelanggaran itu mangsa mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Seberang Jaya sebelum dimaklumkan meninggal dunia semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Noorzainy berkata, pihaknya kini sedang mengesan pemandu lori tersebut bagi membantu siasatan.

“Kita mohon bantuan orang ramai yang melihat kejadian itu tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Nursyafinaz Abd Aziz di talian 018 288 1424 atau balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau. – MalaysiaGazette