Home Ekonomi Keuntungan sebelum cukai separuh pertama Maybank Indonesia merosot akibat Covid-19

Keuntungan sebelum cukai separuh pertama Maybank Indonesia merosot akibat Covid-19

Maybank Indonesia. Foto Agensi

KUALA LUMPUR – PT Bank Maybank Indonesia Tbk (Maybank Indonesia) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak 762 bilion rupiah (1,000 rupiah atau Rp = RM0.29) untuk separuh pertama tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun, 2021, turun 28.5 peratus dariapda 1.1 trilion rupiah pada tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) separuh pertama bagi tahun itu berada pada 510 bilion rupiah, susut 37 peratus daripada 810 bilion rupiah pada tempoh sama tahun lepas akibat pandemik COVID-19 yang berpanjangan semenjak suku pertama tahun 2020.

Presiden Pengarahnya Taswin Zakaria berkata, situasi pandemik ketika ini sangat membimbangkan kerana data oleh kerajaan Indonesia menunjukkan peningkatan dalam jumlah kes positif COVID-19 pada suku kedua 2021.

“Ini telah memberi kesan kepada aktiviti sosial dan perniagaan, termasuk perkhidmatan kewangan. Pada pandangan kami, pelaksanaan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) dan program vaksinasi dipercepatkan dapat meningkatkan keyakinan pasaran dan membantu pemulihan ekonomi Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, susulan daripada keadaan pasaran yang mencabar, keuntungan sebelum cukai unit perbankan Shariah Maybank Indonesia melonjak 67.6 peratus kepada 294 bilion rupiah disokong oleh usaha berterusan bank tersebut untuk meningkatkan pendanaan kos rendah dan mengurus kos dengan cekap.

Pendapatan faedah bersih (NII) Maybank Indonesia turun 12.1 peratus kepada 3.5 trilion rupiah dalam persekitaran pemberian pinjaman lebih rendah dan hasil pinjaman yang merosot seiring dengan penurunan kadar faedah oleh Bank Indonesia dan penstrukturan semula pinjaman pelanggan yang terkesan ketika ini.

Margin faedah bersih (NIM) bank itu turun sebanyak 54 mata asas kepada 4.47 peratus pada akhir Jun 2021, berbanding 5.01 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, bagi suku kedua, NIM Maybank Indonesia meningkat 12 mata asas kepada 4.35 peratus berbanding dengan suku pertama 2021, berikutan kos pembiayaan yang lebih baik. – MalaysiaGazette