KUALA LUMPUR – Jualan kenderaan pada bulan Julai meningkat 14 peratus kepada 48,553 buah berbanding 42,483 pada bulan yang sama tahun lepas.
Kenaikan ini disokong oleh pertumbuhan kenderaan penumpang sebanyak 16 peratus dan jualan kenderaan komersial sebanyak 4.0 peratus, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Menurutnya, pengeluaran untuk bulan itu naik 12 peratus kepada 43,952 berbanding 39,097 pada tahun sebelumnya, dipacu oleh pertumbuhan sebanyak 16 peratus dalam pengeluaran kenderaan penumpang.
Bagaimanapun pengeluaran kenderaan komersial merosot sebanyak 17 peratus.
MAA berkata, jumlah keseluruhan industri bagi bulan itu adalah 4.7 peratus lebih tinggi tahun ke tahun.
Sehingga tujuh bulan pertama tahun ini, jualan kenderaan naik 5 peratus tahun ke tahun kepada 333,010 berbanding 317,966 tempoh sama tahun lalu tetapi pengeluaran merosot 1.0 peratus kepada 299,270.
MAA berkata, penurunan jualan bulan ke bulan disebabkan cuti Hari Raya serta gangguan dalam sistem e-daftar yang memberi kesan kepada proses pendaftaran kenderaan.
Menjangkau ke depan, MAA mengunjurkan jumlah jualan menjadi lebih baik pada bulan Ogos, memandangkan kempen promosi berterusan oleh syarikat kereta dan memenuhi tempahan tertunda selepas pemulihan sistem e-daftar. – MalaysiaGazette