Home Nasional 14 kit ujian kendiri Covid-19 diuji sebelum dipasarkan – Dr. Adham

14 kit ujian kendiri Covid-19 diuji sebelum dipasarkan – Dr. Adham

Dr. Adham baba

KUALA LUMPUR – Ujian prestasi terhadap 14 kit ujian kendiri Covid-19 sedang dijalankan melalui makmal-makmal terpilih sebelum ia dipasarkan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi 35 kit ujian lagi akan dibuat penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal Kit Ujian Covid-19 sebelum menjalani ujian prestasi oleh makmal-makmal terpilih.

“Apabila proses penilaian ini selesai kelak, pengguna akan dapat lebih banyak pilihan kit ujian untuk mereka menjalankan ujian kendiri masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Ujian Kendiri Covid-19.

Pada 14 Julai lalu, Kementerian Kesihatan melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah membuat ketetapan mengenai Kelulusan Bersyarat dan syarat-syarat pengimportan dan pengedaran kit ujian kendiri Covid-19.

Menurut Dr. Adham, sehingga kini, sebanyak enam kit ujian kendiri Covid-19 telah melepasi ujian prestasi dan memenuhi keperluan-keperluan yang ditetapkan telah diberikan kelulusan bersyarat tersebut.

“Salah satu syarat ditetapkan bagi kit ujian ini adalah mana-mana syarikat diberi kelulusan bersyarat untuk mengedarkan kit-kit ujian kendiri Covid-19 hendaklah mengedarkannya melalui farmasi komuniti berlesen dan fasiliti kesihatan yang dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, ia bertujuan bagi memastikan kawalan daripada segi penggunaan dalam kalangan orang awam masih perlu mendapat pandangan profesional mengenai teknik betul.

“Ia bagi mengelakkan berlaku keputusan negatif palsu mahupun positif palsu, walaupun secara umum manual yang disediakan dalam kit ujian kendiri mudah difahami,” katanya.

Selain itu, ia bertujuan untuk mendidik pengguna mengenai langkah keselamatan dan kebersihan semasa menjalankan ujian serta langkah pelupusan selepas penggunaannya.

“Ia bagi memastikan tiada individu lain terdedah memandangkan pengendalian sampel itu melibatkan virus yang berbahaya dan boleh membawa maut,” katanya.

“Ia juga bagi memudahkan pengesanan pengguna jika terdapat masalah berkaitan penggunaan kit-kit ujian tersebut,” ujarnya lagi.

Sehingga kini, kit-kit ujian yang telah diberi kelulusan bersyarat telah dibekalkan ke farmasi-farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan untuk dibeli oleh orang ramai.

“KKM ingin menasihatkan orang awam supaya mempunyai kesedaran dan disiplin kendiri tinggi terutama apabila mendapat keputusan ujian positif dengan memaklumkan kepada pihak berwajib, membuat pengesanan kontak dan menjalankan pengasingan kendiri.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya melupuskan kit-kit ujian yang telah digunakan dengan cara betul untuk mengelakkan kemungkinan penularan tidak diingini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette