KUALA LUMPUR – Keputusan UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini tidak memberi sebarang makna sebelum Yang di-Pertuan Agong membuat sebarang keputusan mengenainya.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka membuat keputusan selepas memanggil semua ahli Parlimen menghadap.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Muhammad Tawfiq Yaakub berpandangan, setiap parti berhak membuat sebarang keputusan namun sebaik-baiknya perlu memahami dan mengikuti perkembangan semasa yang sedang berlaku.
“Ini merupakan episod baharu politik hari ini yang secara langsung memberi kesan kepada usaha-usaha kerajaan menangani pelbagai masalah seperti kes Covid-19 yang semakin meninggi serta kelangsungan hidup rakyat yang sengsara ketika ini.
“UMNO berhak membuat keputusan apa pun sama ada menarik sokongan atau tidak tetapi perlu diingat, menteri-menteri UMNO yang berada di dalam kerajaan hari ini begitu bagus dalam kementerian yang diterajui mereka,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.
Beliau berkata, hanya YDPA boleh membuat keputusan sama ada benar-benar PN sudah hilang keabsahan sebagai kerajaan atau perlu melantik Perdana Menteri interim buat masa ini.
“Walaupun tidak ada di dalam Perlembagaan mengenai Perdana Menteri interim tetapi jika ia terbaik untuk meredakan seketika ketegangan politik, pendapat saya ia wajar dilakukan.
“Seri Paduka Baginda mungkin akan memanggil mesyuarat khas Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat ini sebelum memanggil seorang demi seorang ahli Parlimen seperti mana yang pernah baginda lakukan sebelum ini,” katanya lagi.
Ketika ditanya apakah kemungkinan UMNO mengambil keputusan sebegini, Muhammad Tawfiq berkata, dua faktor utama yang mungkin menjadi sebab – dendam dan jawatan.
“Ini berkait rapat dengan sentimen peribadi. Muhyiddin pernah dipecat oleh Datuk Seri Najib Razak ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Ekoran peristiwa itu, barangkali menjadi detik hitam buat mereka. Keduanya adalah pemimpin UMNO yang kurang diberi jawatan dalam Kabinet kerana itu mungkin parti ini tidak berpuas hati dan akhirnya menarik sokongan.
“Pentadbiran PN tidak gagal seperti dakwaan tetapi hanya terdapat beberapa kelemahan yang meletakkan kerajaan hari ini menjadi mangsa kepada keputusan parti lawan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Tawfiq mengakui keputusan UMNO hari ini telah membuatkan parti Melayu terbesar itu kini berpecah.
“Walaupun sebelum ini sudah dilihat ada beberapa kumpulan di dalam UMNO tetapi selepas ini, ia akan lebih berpecah.
“Rakyat yang sedang berhadapan masalah dan timbul pula keputusan hari ini boleh membuatkan UMNO juga akan hilang kepercayaan ahli-ahlinya,” katanya.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan PN.
Dalam sidang media itu juga, Ahmad Zahid menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan selepas didakwa ingkar titah YDPA.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Muhyiddin hilang majoriti, surat akuan sokongan sudah dihantar ke Istana – Zahid