HEBOH pasal satu klip video yang sedang tular sekarang ini. Seorang perempuan separuh umur memarahi anak tirinya, dan disambut pula oleh si ayah dengan kata-kata kurang senang kepada anak kandungnya itu. Menyokong isterinya.
Melihat adegan ini, teringat saya satu filem Indonesia lakonan Sukarno M. Noor dan Tanty Josepha pada tahun 1974. Tajuknya, kalau tak silap “Ratapan Anak Tiri”.
Usia saya ketika filem itu ditayangkan di panggung wayang Rex sekitar 12 tahun. Baru darjah enam. Kiranya banyak kali jugalah saya menangis terisak-isak sepanjang menonton filem itu. Sedih dengan penderitaan ditanggung dua beradik tiri yang masih kecil lakonan Dewi Rosaria Indah dan Faradilla Sandy.
Rasa marah, geram dan benci kepada ibu tiri membuak-buak dalam dada saya. Walaupun ianya hanyalah sebuah filem, yang dikarang dengan peringatan, “jalan cerita ini tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun mati”, tetapi saya rasa seperti betul-betul. Ia sangat terkesan.
Sejak itu saya benci dan marah kepada ibu tiri. Saya bernasib baik dari kecil hingga dah cecah umur lima siri, ayah saya tidak pernah beristeri dua…emak saya tidak pernah bermadu. Terima kasih ayah kerana tidak hadiahkan kami ibu tiri.
Lama kelamaan, apabila saya meningkat dewasa, rasa benci kepada ibu tiri mula hilang. Sebabnya, saya saksikan di depan mata sendiri akan ibu saudara saya yang dimadukan suaminya mempunyai lima anak tiri, selain lima anak kandung.
Ibu saudara saya yang bergelar ibu tiri kepada lima anak tirinya – ada antaranya jadi sahabat saya sampai sekarang – memberi layanan sama rata kepada anak-anaknya (termasuk lima yang tiri).
Perbelanjaan sekolah, kalau anak kandung dapat 30 sen seorang, anak tiri juga dapat 30 sen seorang. Kalau pakaian sekolah anak tiri rosak atau koyak, dibelinya yang baharu sebagai ganti, hinggakan kasih sayang anak tiri berlebihan kepada ibu tiri berbanding ibu kandungnya sendiri, madu kepada ibu saudara saya.
Hari ini, walaupun ibu saudara saya dan madunya dan suaminya sudah pulang ke rahmatullah (Al-Fatihah) dan 10 anaknya ini ada kehidupan masing-masing, setiap Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha, mereka 10 beradik tiri ini tetap pulang ke kampung di rumah pusaka ibu, ayah mereka untuk berkumpul.
Mereka dah jadi satu keluarga yang besar. Masing-masing dah beranak pinak. Meriah dan ceria sekali. Saya adik beradik dan semua ahli keluarga pun tumpang sekaki bergembira bersama mereka.
Sejak itu, saya tidak lagi memandang negatif pada ibu tiri kerana apa yang saya tonton dalam filem “Ratapan Anak Tiri” jauh bezanya dengan yang berlaku secara realiti di depan mata saya. Kalau ada pun ibu tiri yang bencikan anak tirinya, itu kisah terpencil dan kesnya sikit sekali.
Arwah ibu saudara saya telah membuktikan, tidak semua ibu tiri garang dan tamakkan harta suami. Allah anugerahkan seketul hati dan jiwa keibuan kepada arwah ibu saudara saya untuk menyayangi dan berlaku adil kepada madu mahupun anak-anak tirinya.
Bukan satu perkara yang mudah bila mendapat title isteri kedua atau madu. Semua mata masyarakat memandang jelek kepadanya, selain dituduh perampas suami orang. Tapi tidak begitu yang digambarkan oleh arwah ibu saudara saya bersama arwah suami dan arwah madunya.
Mereka hidup bahagia, rukun dan damai. Saya tabik kepada arwah suami ibu saudara saya kerana dia berjaya berjaya mendidik kedua-dua isterinya menjadi madu yang memahami dan mengasihi antara satu sama lain.
Kadang-kadang saya pun teringin nak ikut jejaknya.
Lama saya bersikap positif pada ibu tiri. Tapi, hari ini ia musnah dalam sekelip mata. Rasa sakit hati, geram dan marah mula membuak-buak bila saya menyaksikan dari awal sampai habis satu klik video yang memaparkan seorang ibu tiri memarahi anak tirinya.
Sikapnya amat biadab. Kata-kata yang dihamburkan kepada anak tirinya itu sangat melampau. Si suami pula hanya mengiyakan apa sahaja tuduhan si isteri kepada anak tirinya, sambil disokong oleh seorang lelaki yang saya tengok dua kali lima dengan perempuan itu.
Saya cuba amati apa sebenarnya berlaku yang membuatkan si perempuan itu mengamuk marah pada anak tirinya. Selesai menontonnya, barulah saya dapat simpulkan, kemarahannya berpunca daripada rasa tidak puas hatinya ke atas anak tiri itu yang mula mendapat nama dalam industri hiburan.
Dia bimbang, kalau nama anak tirinya naik, maka tenggelamlah nama si suami yang suatu ketika dahulu tersohor dalam dunia hiburan. Dia takut rezeki Allah itu beralih kepada anak tiri, sedangkan pendapatan suaminya semakin susut.
Itu sebenarnya punca seorang ibu tiri mengamuk marah pada si anak tiri. Tak mahu si anak tiri menggunakan nama ayah kandung.
Si anak tiri ini pula, dengan izin Allah, memiliki suara emas walaupun bukan mewarisi aura ayahnya. Dia pandai menggunakan kelebihan yang Allah berikan itu untuk menceburkan diri dalam industri hiburan. Syabas.
Tetapi, hal ini tidak disenangi si ibu tiri, yang melihat kejayaan anak tirinya suatu malapetaka baginya dan suaminya.
Anak mana nak lihat kehidupan ibu tiri dan ayahnya merana? Kalau kita (bertitle tiri) berbuat kebaikan kepada anak-anak, pasti anak-anak akan membalas kebaikan kepada kita.
Dalam kes ini, si ibu tiri itu sepatutnya tumpang gembira dengan kejayaan anak tirinya. Sekurang-kurangnya dia boleh jadi pengurus kepada anak tirinya, selain pengurus kepada suaminya.
Memang adat dunia. Manusia mudah lupa diri. Bila ambil ayah orang, sepatutnya dengan anak-anak sekali dia ambil, beri dan tumpahkan kasih sayang. Tapi, hanya ayah yang diambil, anak disisih dan dibenci.
Apapun, saya tidak mahu menyalahkan adegan dalam klik video itu. Cuma hendak nasihat, jagalah maruah diri, maruah suami. Di zaman serba maju ini, setiap tingkah laku kita, tutur kata kita dalam sekelip mata akan tersebar di alam maya dan ditonton pula oleh puluhan juta manusia.
Saya harap, dalam kes yang sedang berlaku ini dapat diselesaikan secara kekeluargaan. Buang yang keruh, ambil yangn jernih. Dan kepada ibu tiri di luar sana, jangan sekali kali rosakkan imej ibu tiri seperti arwah ibu saudara saya. – MalaysiaGazette